TheMalaysiaTime

‘Jangan jadi budaya’, KPM ditegur umum cuti tambahan saat akhir

2026-03-11 - 07:45

Perancangan teliti di pihak KPM akan memudahkan urusan perantau merancang perjalanan atau membeli tiket, kata Ahli Parlimen Syahir Che Sulaiman. KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman, menegur Kementerian Pendidikan (KPM) atas pengumumman cuti tambahan ‘saat akhir’ sempena Aidilfitri. Beliau menyarankan KPM menambah baik kaedah pengurusan takwim persekolahan supaya ibu bapa, pelajar dan guru dapat membuat perancangan lebih awal dan teratur. “Dalam merangka takwim tahunan, perkara seperti ini sebenarnya boleh ‘dicerap’ lebih awal,” menurut kenyataan. “Elemen ‘kejutan’ tidak sewajarnya menjadi budaya dalam pengurusan sektor pendidikan.” Syahir percaya perancangan yang teliti di pihak KPM akan memudahkan urusan perantau merancang perjalanan atau membeli tiket untuk pulang ke kampung. “Faktor kos, masa dan kuota cuti tahunan semuanya perlu diambil kira. Semuanya perlu dirancang lebih awal,” katanya. KPM mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac kepada semua sekolah, bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, semalam. Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac. Sekolah dalam Kumpulan B merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diberikan dua hari cuti tambahan, iaitu 19 dan 20 Mac.

Share this post: