Jangan buat spekulasi video tular tahan pemandu, kata polis Cheras
2026-02-27 - 05:23
Tangkap layar video tular menunjukkan empat anggota polis memeriksa seorang pemandu kerana meletak kenderaan di tepi jalan hingga halang lalu lintas. PETALING JAYA: Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkait satu rakaman video tular di TikTok yang mendakwa beberapa anggota polis menerima rasuah daripada seorang pemandu kereta di tepi jalan raya. Ketua Polis Cheras Rosdi Daud berkata hasil semakan mendapati kejadian berlaku semalam pada jam lebih kurang 11.20 pagi di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil. Katanya, ketika kejadian empat anggota polis sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah dengan mengambil tindakan saman ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas. “Semasa kejadian, pihak polis menasihatkan pemilik untuk mengalihkan kenderaan dan mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) serta mengambil butiran pemilik kenderaan tersebut untuk tujuan rekod. “Pihak Polis telah mengeluarkan dua keping saman ke atas pemandu dan kenderaan lain kerana menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan. Sehubungan itu, Rosdi mengingatkan agar mana-mana individu tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana ianya akan menyebabkan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap penugasan pihak polis di lapangan. “Polis komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan dan kesejateraan negara,” katanya. Beliau juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih berkaitan perkara itu untuk hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. Terdahulu, tular satu video di TikTok menunjukkan beberapa anggota polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap seorang pemandu kereta di tepi jalan. Video itu tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara yang berlaku tetapi ia mencetuskan komen yang menuduh anggota polis berkenaan meminta serta menerima rasuah.