TheMalaysiaTime

‘Jangan balas dendam’, pemimpin PAS gesa PN tiru sikap negarawan

2026-03-05 - 09:23

Iskandar Samad berkata pemimpin PN perlu matang dengan mengetepikan perselisihan lama bagi memastikan gabungan itu terus relevan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mempamerkan imej ‘balas dendam’ sebaliknya bersikap lebih terbuka dalam memperkukuh gabungan itu sebagai wadah politik arus perdana yang inklusif. Bendahari PAS Iskandar Samad berkata pimpinan gabungan itu perlu berjiwa besar dan tidak seharusnya menyekat penyertaan mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi sama demi masa depan negara. Katanya, kepimpinan PN perlu menunjukkan kematangan politik dengan mengetepikan perselisihan lama bagi memastikan gabungan itu terus relevan sebagai kuasa politik arus perdana. “Pimpinan perlu berjiwa besar, mengenepikan perselisihan dan pertelingkahan lama. “Elakkan daripada mempamerkan sebarang imej yang menggambarkan kecenderungan untuk membalas dendam. “Rakyat sentiasa memerhati dan menilai dengan penuh teliti,” katanya dalam kenyataan. Beliau tidak merujuk kepada mana-mana individu atau situasi namun media semalam melaporkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menolak sebarang kerjasama antara beliau dengan Hamzah Zainudin selepas ini termasuk juga jika bekas timbalannya itu mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) menerusi parti baharu. Tegasnya, hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen. Difahamkan, Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu sedang dalam proses untuk mengambil alih dan mengetuai Parti Keluarga Malaysia.

Share this post: