Jabatan Mufti Perak tegur penganjuran ‘Tidur Lambak’
2026-03-28 - 01:50
Jabatan Mufti Negeri Perak menegur penganjuran ‘Tidur Lambak’ di Ipoh dan meminta penganjur menelitinya semula supaya tidak bertentangan dengan tuntutan syarak serta adat Melayu. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) menegur penganjuran acara ‘Tidur Lambak’ selama dua hari di Ipoh dan menggesanya diperhalusi semula agar tidak bertentangan dengan tuntutan syarak serta adat Melayu. Dalam satu kenyataan, ia berpandangan acara tidur beramai-ramai secara santai itu perlu diteliti dengan merujuk kepada elemen syarak dan adat Melayu supaya tidak mengundang fitnah terhadap Islam serta meminggirkan kehalusan nilai, akhlak dan budaya masyarakat Melayu. “Kekhuatiran utama adalah potensi ‘ikhtilat’ atau percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang dilakukan secara pilihan boleh mengundang sesuatu yang bercanggah dengan syarak. “Antara perkara lain yang bakal terhasil sewaktu berlakunya percampuran termasuk kesukaran memelihara pandangan, tersingkap batasan aurat, sentuhan dengan bukan mahram serta perkara-perkara lain yang bercanggah dengan syarak yang amat perlu dielakkan. “Sehubungan itu, JMNPk menasihatkan agar acara ini perlu diperhalusi semula pelaksanaannya dan amatlah wajar pihak penganjur merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum penganjuran berlangsung,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro. Acara itu adalah konsep tidur beramai-ramai secara santai yang diilhamkan daripada pengalaman atau budaya unik masyarakat Malaysia yang antara lain mengetengahkan suasana semasa balik kampung dan semua orang tidur beramai-ramai dalam satu ruang. Penganjuran acara oleh Tapir Studio itu dikatakan ingin menghidupkan semula pengalaman budaya lama dengan konsep moden serta menggalakkan hubungan sosial dan memberi pengalaman kepada individu yang mahu merasai suasana dan budaya berkenaan. Selain itu, JMNPk, berkata implementasi syarak dalam seluruh dimensi kehidupan bermatlamat untuk kemaslahatan manusia dan ia juga merangkumi sebarang penganjuran acara serta program membabitkan individu dan keluarga Muslim serta masyarakat. “Bukan tujuan beragama untuk menyempitkan kehidupan seseorang dan memutuskan hubungan sosial sesama manusia, namun ia sebagai penyelamat kepada diri manusia itu sendiri daripada kehinaan dan kerosakan nilai harga diri manusiawi. “Beraktiviti atau berekreasi bagi menyegarkan ingatan serta bernostalgia tidaklah ditegah secara mutlak, namun perlu akur dan tunduk kepada panduan syarak yang memandu kehidupan manusia agar terselamat di dunia dan akhirat,” katanya.