TheMalaysiaTime

Isu pegangan saham Azam Baki, KSN akan ambil tindakan lanjut

2026-03-11 - 10:54

KSN Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini berkata, beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah terima laporan daripada pengerusi jawatankuasa siasatan khas, iaitu Peguam Negara Dusuki Mokhtar. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar akan mengambil tindakan susulan berhubung isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh peguam negara dalam isu tersebut. “Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh KSN dan saya tidak akan menyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksana oleh KSN. “Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan daripada KSN, saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama,” kata menteri komunikasi itu pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Semalam, Shamsul Azri berkata, laporan jawatankuasa khas siasatan isu pemilikan saham melibatkan Azam akan diteliti oleh Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat. Shamsul Azri berkata, beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menerima laporan itu daripada pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Peguam Negara Dusuki Mokhtar. Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan ketua pesuruhjaya SPRM itu. Langkah itu susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat. Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini berkata, pegangan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur. Mengulas isu dakwaan manipulasi korporat yang dilaporkan oleh beberapa media, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan bahawa siasatan berhubung beberapa individu telah pun dimulakan sejak beberapa tahun lepas. “Maka arahan yang diberikan oleh Jemaah Menteri kepada badan-badan penguatkuasaan meliputi pihak polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM serta Lembaga Hasil Dalam Negeri supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh,” katanya. Beliau berkata, siasatan itu tidak seharusnya terhad kepada individu yang kini menjadi tumpuan awal sebaliknya perlu diperluas jika terdapat penglibatan pihak lain. Agensi penguatkuasaan turut diarah mengambil tindakan perundangan sewajarnya, termasuk menyita hasil yang dipercayai mempunyai elemen jenayah, katanya. Tambahnya, pihak berkuasa diminta meneliti sekiranya terdapat sebarang kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang memungkinkan berlakunya tindakan dipercayai bersifat manipulasi korporat. Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas siasatan berkaitan isu manipulasi korporat oleh Azam yang dipengerusikan oleh Dusuki.

Share this post: