Isu kontrak TM-DNB tak jejas sasaran liputan 5G negara, kata Fahmi
2026-03-04 - 11:24
Kedua-dua TM dan DNB merupakan pemegang lesen di bawah SKMM. PUTRAJAYA: Pertikaian berhubung penamatan kontrak antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Digital Nasional Bhd (DNB) ialah isu kontrak komersial antara dua pihak dan tidak menjejaskan sasaran kerajaan untuk mencapai 95% liputan 5G di kawasan berpenduduk, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Beliau berkata, dari segi objektif pelaksanaan rangkaian 5G, kerajaan telah mencapai kadar liputan 80% yang membolehkan rangkaian kedua diwujudkan selaras dengan peralihan kepada model dwirangkaian. “Kita tidak melihat isu antara dua pihak ini (TM dan DNB) akan menjejaskan pelaksanaan ke tahap 95% bagi rangkaian 5G dalam masa-masa yang akan datang,” kata jurucakap kerajaan Madani itu pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Fahmi berkata, perkara itu melibatkan pertikaian kontrak komersial antara kedua-dua syarikat yang juga merupakan pemegang lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). “Saya berharap kedua-dua pihak dapat duduk untuk meneliti isu-isu yang dihadapi dan dapat diuruskan dengan baik,” katanya. Semalam, TM menjelaskan pihaknya telah melaksanakan hak kontraktual mengikut Perjanjian Akses 5G dengan mematuhi sepenuhnya syarat khusus mengenai penamatan awal serta keperluan yang berkaitan dengan model dwirangkaian 5G. Syarikat telekomunikasi itu menegaskan, notis penamatan itu adalah sah dan mengekalkan sepenuhnya segala haknya. DNB dilaporkan menolak notis yang dikeluarkan TM untuk menamatkan perjanjian 5G, sambil menegaskan bahawa kontrak jangka panjang itu masih sah dan berkuat kuasa. Menurut DNB, perjanjian itu berkuat kuasa sehingga Oktober 2032 dan mengandungi syarat tertentu untuk menentukan bagaimana penamatan awal boleh dilaksanakan. Oleh itu, DNB menjelaskan bahawa TM tidak menggunakan haknya untuk menamatkan kontrak lebih awal selaras dengan syarat yang telah ditetapkan.