TheMalaysiaTime

Isteri Amri mahu halang permohonan penangguhan kerajaan

2026-03-09 - 05:13

Peguam mewakili Norhayati Ariffin berkata bantahan utamanya kerana beliau melihat permohonan penangguhan itu cubaan melengahkan siasatan semula terhadap penculikan suaminya. PETALING JAYA: Norhayati Ariffin, isteri aktivis hilang, Amri Che Mat, memfailkan hujahan di Mahkamah Tinggi bagi membantah permohonan kerajaan menangguhkan pelaksanaan award lebih RM3 juta kepada keluarganya pada November 2025. Kerajaan memfailkan permohonan penangguhan itu pada 8 Jan lalu, sementara menunggu rayuannya diputuskan Mahkamah Rayuan. Surendra Ananth yang menganggotai pasukan peguam Norhayati berkata, sebagai plaintif berjaya, beliau berusaha menyelesaikan perkara itu secara baik dengan mencadangkan penangguhan bersyarat. “Kami menawarkan penangguhan pembayaran ganti rugi dan kos sambil meneruskan siasatan serta komponen liabiliti dalam keputusan itu. “Kerajaan menolak cadangan ini sepenuhnya tanpa memberikan alasan,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, bantahan utama anak guamnya kerana melihat permohonan penangguhan itu cubaan melengahkan siasatan semula terhadap penculikan suaminya. “Norhayati bimbang tiada tindakan memulakan siasatan sewajarnya ke atas kehilangan suaminya dan bagaimana permohonan penangguhan perintah itu akan terus melengahkan proses ini.” Pendengaran bagi permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan dijadualkan berlangsung 2 petang 11 Mac ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zalita Zaidan. November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri atas kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan Amri. Hakim Su Tiang Joo memutuskan kerajaan dan polis melanggar kewajipan statutori mereka, serta pegawai mereka bertindak bertentangan Perlembagaan. Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya kira-kira 11.30 malam 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis, pagi keesokannya. Norhayati memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung cara pihak berkuasa menyiasat kehilangan suaminya. Su mengeluarkan satu perintah tambahan supaya ketua polis negara menyingkirkan pegawai penyiasat Khor Yi Shuen serta pegawai lain yang mengendalikan kes Amri, selain melantik pegawai penyiasat baharu bagi mengambil alih siasatan itu. Beliau turut mengarahkan polis memulakan semula siasatan dan melaporkan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara setiap dua bulan.

Share this post: