TheMalaysiaTime

Isa fail permohonan ketepi sabitan sogokan

2026-03-07 - 10:33

Mahkamah Persekutuan kekal sabitan dan hukuman terhadap Isa Samad kerana terima wang sogokan hampir RM3 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching 12 tahun lepas. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Bekas pengerusi Felda Isa Samad, yang disabitkan kesalahan menerima wang sogokan kira-kira RM3 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching 12 tahun lepas, telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan tersebut. Dalam permohonan yang difailkan pada Rabu oleh firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Isa turut memohon panel baharu untuk mendengar semula rayuannya. Antara alasan bagi semakan tersebut adalah berlakunya pelanggaran prinsip keadilan asasi. Ahli pasukan guaman Isa, peguam Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan bahawa permohonan itu difailkan atas arahan anak guamnya. Isa, 76, mula menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Nordin Hassan pada 10 Feb mengembalikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.5 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2021. Isa didapati bersalah atas sembilan tuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta. Dua tahun lepas, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Share this post: