Iran tegaskan tak tutup Selat Hormuz
2026-03-06 - 23:23
Timbalan Menteri Luarnya Saeed Khatibzadeh berkata penurunan mendadak trafik perkapalan melalui Selat Hormuz akibat syarikat insurans enggan menginsuranskan kapal ke kawasan itu. (Gambar AFP) NEW DELHI: Iran tidak menutup Selat Hormuz, laluan laut penting bagi pengangkutan tenaga dalam konflik berterusan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Timbalan Menteri Luarnya, Saeed Khatibzadeh. Khatibzadeh yang berucap dalam satu persidangan di New Delhi pada Jumaat berkata, penurunan mendadak trafik perkapalan melalui selat itu akibat keengganan syarikat insurans menginsuranskan kapal menuju ke kawasan berkenaan. “Kami tidak menutup Selat Hormuz dan kami tidak berhasrat berbuat demikian sehingga diberitahu kelak. “Jika kami menutupnya, kami akan mengumumkannya,” kata Khatibzadeh sambil menambah langkah sedemikian akan diambil secara “bertanggungjawab” kerana Iran merupakan “tonggak kestabilan” di rantau itu. Serangan AS-Israel ke atas Iran serta tindakan balas Iran di seluruh rantau itu mencetuskan kekacauan perjalanan dan mengganggu aliran tenaga. Khatibzadeh menegaskan Iran akan terus menentang usaha Israel dan AS menggulingkan kerajaan negara itu. “AS membunuh pemimpin sebuah negara. Jika ini menjadi norma baharu, maka tiada negara boleh menjalin hubungan diplomatik dan hubungan normal dengan negara lain,” katanya merujuk pembunuhan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dalam pengeboman AS-Israel 28 Feb lalu. “AS memutuskan untuk menamatkan kewujudan Iran. Israel menjanjikan perkara ini selama beberapa dekad kerana khayalan mereka mengenai ‘Greater Israel’,” katanya merujuk projek ideologi Zionis untuk menduduki bukan sahaja Palestin, tetapi juga kawasan atau keseluruhan Jordan, Lubnan, Syria, Iraq, Mesir dan Arab Saudi. Khatibzadeh berkata, AS mempunyai pangkalan tentera di seluruh rantau itu untuk menyerang Iran. “Kami tiada pilihan, selain menamatkan kehadiran AS di kawasan sekitar Iran.”