TheMalaysiaTime

Iran namakan anak Khamenei pemimpin tertinggi baharu

2026-03-09 - 00:04

Mojtaba Khamenei dinamakan pemimpin ketiga Iran, sembilan hari selepas serangan AS-Israel membunuh Ayatollah Ali Khamenei. (Gambar AFP) TEHRAN: Majlis Pakar Iran pada Ahad melantik Mojtaba Khamenei, anak Ayatollah Ali Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu negara itu, walaupun Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengugut akan menentangnya. Sembilan hari selepas serangan AS-Israel membunuh Ali Khamenei dan mencetuskan peperangan di Timur Tengah, Majlis Pakar bersidang untuk memilih pemimpin berikutnya. Majlis Pakar dalam kenyataan berkata, Mojtaba, 56, dilantik sebagai pemimpin ketiga Iran berdasarkan undi muktamad daripada wakil terhormat majlis itu. Menurutnya, Majlis Pakar “tidak teragak-agak walaupun seminit” dalam memilih pemimpin baharu, meskipun berdepan “pencerobohan kejam AS dan rejim Zionis yang jahat”. Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menolak anak Mojtaba sebagai ‘tidak berwibawa’ dan menegaskan beliau patut mempunyai suara dalam pelantikan pemimpin baharu itu. “Jika beliau tidak mendapat kelulusan kami, beliau tidak akan bertahan lama,” katanya kepada ABC News sebelum pengumuman itu dibuat. Tetapi, diplomat tertinggi Tehran pada Ahad berkata, keputusan itu hak mutlak Iran dan mereka “tidak akan membenarkan sesiapa pun campur tangan urusan dalaman kami”. Menteri Luar, Abbas Araghchi pula menuntut Trump ‘memohon maaf kepada rakyat rantau ini’ kerana memulakan peperangan. Mojtaba dianggap tokoh konservatif, terutama kerana hubungannya dengan Pengawal Revolusi, sayap ideologi ketenteraan Iran. Tentera Israel sebelum ini memberi amaran kepada mana-mana pengganti bahawa “kami tidak akan teragak-agak menjadikan anda sasaran”. Udara tidak boleh dihirup Israel menyerang lima kemudahan minyak di dalam dan sekitar Tehran yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat maut serta mencetuskan kebakaran memenuhi langit dengan asap beracun. Gabenor Tehran memberitahu Agensi Berita Republik Islam (IRNA) bahawa pengagihan bahan api “terganggu buat sementara” di ibu negara. Bandar didiami 10 juta penduduk itu diselubungi jerebu gelap yang menutupi cahaya matahari, manakala bau bahan api terbakar masih berlegar di udara. Pihak berkuasa memberi amaran asap itu boleh menjadi toksik dan menggesa orang ramai kekal dalam rumah, tetapi banyak tingkap pecah akibat letupan. “Kebakaran berterusan lebih 12 jam, udara tidak boleh dihirup. Saya tidak dapat keluar untuk membeli barang keperluan,” kata seorang penduduk Tehran berusia 35 tahun. “Sejak semalam, orang ramai kata tiada petrol di stesen minyak,” katanya dalam mesej teks kepada kenalan di Eropah. Ketika perang memasuki hari kesembilan, Pengawal Revolusi Iran memaklumkan mereka mempunyai bekalan mencukupi untuk meneruskan perang menggunakan dron dan peluru berpandu di Timur Tengah sehingga enam bulan. Beberapa letupan kedengaran di pusat komersial Israel, Tel Aviv selepas tentera rejim Zionis berkata, mereka mengesan satu serangan peluru berpandu dari Iran. Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom melaporkan enam cedera di tengah Israel.

Share this post: