Iran mahu kutip tol bagi kapal lalui Selat Hormuz
2026-03-26 - 15:41
Timbalan Menteri Luar Iran Vahid Jalalzadeh berkata Tehran akan bekerjasama dengan Oman bagi merangka perundangan baharu untuk Selat Hormuz yang akan berkuat kuasa selepas konflik berakhir. (Gambar Reuters) TEHRAN: Iran mahu mengenakan bayaran secara sah dari segi undang-undang bagi kapal melalui Selat Hormuz, kata Ahli Parlimennya, Mohammadreza Rezaei Kouchi pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti. Selasa lalu, Bloomberg melaporkan Tehran mula mengenakan bayaran sehingga USD2 juta bagi kapal komersial yang transit di Selat Hormuz. “Kami mahu merangka rang undang-undang (RUU) di mana kedaulatan, penguasaan dan kawalan ke atas Selat Hormuz akan termaktub dalam undang-undang, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan bagi negara melalui tol. “Versi awal sudah siap, tetapi belum lagi mewakili RUU yang lengkap,” katanya dipetik Agensi Berita Tasnim. Beliau berkata, bayaran itu perlu “bagi menjamin keselamatan kapal” yang melalui laluan air menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman. Kerja merangka RUU akan diteruskan dalam masa terdekat, sebelum ia dipertimbangkan dalam sesi terbuka Parlimen. Timbalan Menteri Luar Iran, Vahid Jalalzadeh, berkata Tehran sedang membangunkan rejim perundangan baharu bagi Selat Hormuz yang akan berkuat kuasa selepas konflik berakhir, dengan rancangan Iran untuk bekerjasama dengan Oman dalam perkara ini. Pada 28 Feb lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran yang mengakibatkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat. Ketegangan di sekitar Iran menyebabkan berlakunya sekatan secara de facto di Selat Hormuz, iaitu laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global. Ia turut menjejaskan eksport minyak dan tahap pengeluaran di rantau itu, sekali gus menyebabkan kenaikan harga minyak.