Iran, imperialisme dan ‘pembaratan’ kembali dunia kita
2026-03-08 - 00:54
Imperialisme tidak sekadar gagasan tetapi menjadi sebahagian dari kenyataan dunia kita masa kini. Perkara itu dapat dilihat dalam peristiwa penculikan Presiden Venezuela Nicolás Maduro dan istrinya Cilia Flores oleh Amerika Syarikat (AS) dan perang dilancarkan Israel yang disokong sepenuhnya AS terhadap Iran. Selain itu, sekatan tidak adil terhadap penyalurn bahan api ke Cuba dan perang genosid Israel terhadap Gaza yang berlangsung dengan sokongan penuh AS. Sebelumnya, imperialisme Barat pada zaman dahulu berbentuk kekuasaan penjajahan secara langsung, khususnya sejak penaklukan Eropah ke atas benua Amerika pada akhir abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Namun, pada zaman pasca-penjajahan imperialisme beroperasi secara tidak langsung melalui penguasaan ekonomi, politik dan budaya terhadap negara-negara majoriti global (Global Majority). Penguasaan itu berjalan melalui berbagai mekanisme seperti pujukan, ugutan, ancaman, maupun campur tangan. Meskipun sebahagian besar negara di dunia telah mengalami penyahjajahan secara formal, pada hakikatnya, banyak negara masih berada di bawah penguasaan kuasa global, terutama sekali AS. Ini dizahirkan dalam bentuk penguasaan ekonomi dan juga campur tangan politik. Fenomena inilah yang Presiden Sukarno dalam pidatonya di Persidangan Asia Afrika pada 1955, tekankan dan menggelarnya neokolonialisme iaitu, penjajahan dengan wajah baru. Dalam pidato pembukaan persidangan itu, Sukarno mengingatkan pesertanya penjajahan tidak benar-benar berakhir, melainkan muncul kembali dalam bentuk baru dan lain. Bentuk itu dapat dilihat melalui bukan sahaja penguasaan ekonomi dan politik tetapi juga intelektual dan budaya dan politik terhadap negara -negara Dunia Ketiga. Baru-baru ini, dua ketua diplomat iaitu Ketua Setiausaha AS Marco Rubio dan Menteri Luar Negeri Iran Seyyed Abbas Araghchi menyampaikan pidato dalam forum antarabangsa yang berbeza. Dalam pidato-pidato itu, tercermin dua wawasan yang bercanggah mengenai bagaimana seharusnya ketertiban dunia dibayangkan dan diwujudkan. Satu menjadi paparan mengerikan dorongan imperialis, manakala satu lagi seruan untuk ketertiban dunia yang berlandaskan ketenteraman, penghormatan dan keamanan. Araghchi menyampaikan pidatonya pada Forum Al Jazeera di Doha yang berlangsung pada 7–9 Feb. Dalam pidato itu, beliau menekankan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi rakyat Palestin. Selain itu, pentingnya menjunjung tinggi penghormatan terhadap hukum antarabangsa dan menentang ketertiban dunia di mana sempadan nasional adalah sesuatu yang sementara, kedaulatan dianggap bersyarat, dan keamanan ditentukan melalui pendudukan tentera. Araghchi menyampaikan pandangan itu dalam konteks penjajahan Israel atas Palestin. Namun, pernyataan itu sebenarnya dapat diterapkan pada kes-kes lain seperti Venezuela dan Iran. Pada dasarnya, seruan yang disampaikan oleh diplomat Iran tersebut adalah tuntutan bagi penyahjajahan dan deimperialisasi ketertiban dunia. Ini berlaku ketika Amerika Syarikat berupaya memperkukuhkan imperialisme sekali gus melakukan pembaratan kembali (rewesternization) terhadap ketertiban dunia. Dalam konteks inilah pidato Rubio disampaikan pada Munich Security Conference, seminggu setelah Araghchi berucap di Doha, perlu difahami. Perlu diingat Rubio menyampaikan pidatonya di hadapan pemimpin dan elit politik Eropah. Pada bahagian awal pidatonya, beliau mengagungkan proses pendirian AS tanpa sekali pun merujuk pada genosid yang dilakukan oleh ‘penemu’ Eropah terhadap penduduk asli benua itu. Sebaliknya, ia merujuk pada agama masihi sebagai warisan suci yang dibawa dari Eropah oleh peneroka yang mendatangi wilayah yang mereka sebut sebagai ‘Dunia Baru’. Padahal wilayah itu telah lama dikenali masyarakat pribumi sebagai Abya Yala. Rubio menegaskan: “Kita sebahagian dari satu peradaban, yakni peradaban barat. Kita terikat satu sama lain melalui ikatan terdalam yang dapat dimiliki oleh bangsa-bangsa, yang ditempa oleh berabad-abad sejarah bersama, iman Masihi, budaya, warisan, bahasa, garis keturunan, serta pengorbanan para leluhur kita yang secara bersama-sama berjuang demi peradaban bersama yang kini kita warisi.” Selanjutnya, Rubio memaparkan berbagai pencapaian ilmiah dan budaya hebat dari peradaban barat, tanpa sedikit pun menyinggung sumbangan dari peradaban lain, seperti Cihna, India, dan dunia Islam, yang turut memain peranan penting dalam pembentukan modernity Barat. Ia juga mengabaikan fakta-fakta sejarah mengenai rasisme, misogini, perhambaan, penjajahan yang diamalkan oleh masyarakat Eropah dan Amerika. Fakta sejarah itu yang justeru menjadi asas penting bagi proses modernisasi dan industrialisasi di Barat. Tidak hanya mengabaikan kepekaan berbilang budaya, pidato Rubio bernuansa xenophobic. Ia meratapi kebijakan yang, menurutnya, telah membuka “pintu-pintu kita bagi gelombang migrasi beramai-ramai yang belum pernah terjadi sebelumnya, yang justeru mengancam kesepaduan masyarakat, keberlanjutan budaya, serta masa depan bangsa kita.” Di sisi lain, Rubio justeru melakukan pengagungan pengeboman Iran pada bulan Jun 2025, serta penculikan presiden dan ibu negara Venezuela. Meratapi gerakan anti-penjajahan yang menyumbang kepada kemerosotan empayar Barat, Rubio menyeru untuk pembaharuan dan pemulihan tamadun Barat ke arah ‘membina abad Barat yang baharu’. Beliau menyatakan selama lima abad, tamadun barat telah berkembang melalui kerja mubaligh dan askarnya, dan menetap benua dan empayar yang ditubuhkan tetapi merosot dari 1945. Rubio memberitahu hadirin di Munich bahawa Presiden Donald Trump dan AS mahu bekerjasama dengan Eropah untuk kembali ke zaman penguasaan Barat. Bagi kita di Asia, Afrika dan Amerika Latin, ini akan dibaca sebagai kehendak untuk mebaratkan semula kita iaitu untuk memaksakan cara kemodenan Barat kepada kita. Semangat yang ingin dicetuskan oleh Rubio di kalangan orang Eropah, yang ‘menghantar kapal ke lautan yang belum dipetakan dan melahirkan tamadun kita,’ jelas bersifat imperialis. Ternyata inisiatif Amerika Syarikat baru-baru ini di Gaza, Venezuela dan Iran adalah hasil daripada semangat itu. Penegasan semula keunggulan Barat dan keinginan memperbarui peranan imperialisnya di dunia kemungkinan besar adalah cerminan persepsinya bahawa mereka semakin lemah dan takut menjadi sekadar bayangan gema lemah dan samar kejayaan masa lalu mereka, sebagaimana diungkapkan sendiri oleh Rubio. Keadaan ini sesuatu yang harus diwaspadai secara seksama oleh negara-negara Dunia Ketiga, iaitu masyarakat di Asia, Afrika, dan Amerika Latin. Harus diakui dorongan anti-imperialisme sebenarnya telah lama ada, namun dalam beberapa tahun terakhir semakin menimbulkan kekhuatiran di kalangan Barat akibat berbagai perubahan geopolitik yang muncul di Dunia Ketiga. Di antara perkembangan tersebut adalah meningkatnya pengaruh BRICS serta gagasan dedolarisasi dalam sistem ekonomi global dan penjajaran semula wilayah Sahel Afrika yang menolak penguasaan Perancis dan AS. Pengukuan hubungan di antara negara-negara sosialis seperti China, Korea Utara dan Rusia untuk melawan penguasaan Barat serta fenomena Pink Tide di Amerika Latin sebagai gelombang kebangkitan gerakan politik dan pemerintahan berhaluan kiri yang mulai muncul sejak akhir 1990-an hingga awal 2000-an. Selain itu, pendirian anti-imperialis dan anti-Zionis Iran yang teguh serta penentangannya terhadap campur tangan AS dalam urusan negara-negara Asia Barat, juga menjadi sebahagian dari dinamika anti-imperialisme global tersebut. Bertolak dari konteks di atas, barat yang dipimpin Amerika Syarikat, sebenarnya sedang mengalami kemunduran kekuatan hegemoniknya. Keadaan ini bukan hanya suatu kenyataan objektif, tetapi juga telah secara luas dianggap demikian oleh berbagai pihak, termasuk golongan-golongan tertentu barat sendiri. Dalam keadaan demikian barat mahu tidak mahu, berupaya keras untuk merebut kembali kejayaannya. Dalam memperjuangkan itu, tindakan-tindakannya berkemungkinan menjadi melulu, kejam, dan mengakibatkan pertumpahan darah. Ini dilakukan kerana ada rasa ketakutan dan rasa ketidakamanan yang meningkat. Kita di Asia, Afrika, dan Amerika Latin, baik sebagai warga negara, gerakan masyarakat sivil, maupun pemerintah, harus memutuskan di sisi sejarah mana harus berpihak. Di sisi mana kita sebenarnya berdiri dan berpihak dalam arus pergolakan sejarah yang akhir-akhir ini terjadi? Apakah kita akan membiarkan penghakisan hukum internasional dan kedaulatan negara, serta mendorong berkembangnya neo-kolonialisme dan imperialisme baik melalui penyertaan aktif dalam proses tersebut mahu pun melalui kesenyapan yang secara tersirat membawa kepada kebersubahatan dalam proses itu? Atau kita akan memilih untuk bergabung dengan kekuatan-kekuatan anti-imperialis? Telah sampai masanya untuk kita memilih jalan yang lurus dan adil. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.