TheMalaysiaTime

Interaksi pelajar dorong kerajaan laksana subsidi penerbangan, kata Armizan

2026-03-08 - 13:04

Menteri KPDN Armizan Mohd Ali, berkata amaun baucar digital FLYSiswa ditingkatkan kepada RM400, berbanding RM300 sebelum ini. (Gambar Bernama) SHAH ALAM: Interaksi pelajar dengan kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan menjadi pencetus pelaksanaan Program Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/Subfly), selain Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa), dan FLYSiswa. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata bantuan sedemikian memberi kelegaan kepada ribuan pelajar Sabah menuntut di dalam dan luar negeri. “Program ini bukan sekadar majlis tahunan, tetapi juga platform penting bagi kerajaan negeri berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa Sabah di perantauan. “Melalui sesi seperti ini, pelajar boleh menyuarakan cabaran yang mereka hadapi, termasuk kos tiket penerbangan untuk pulang ke kampung,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Pelajar IPT Sabah di Semenanjung. Majlis itu dihadiri lebih 1,200 pelajar Sabah daripada 31 IPT di Semenanjung. Menurutnya, program itu diperkenalkan pada 2024 dengan pemberian subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. “Bagi 2025, seramai 19,505 pelajar IPT menerima manfaat melalui inisiatif ini dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM11.7 juta,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri Sabah turut melaksanakan inisiatif Sentosa yang memberi bantuan sekali bayar RM300 sebagai subsidi pengangkutan kepada pelajar IPT di Sabah untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan. Katanya, pada 2025 seramai 22,649 pelajar menerima manfaat melalui Sentosa membabitkan jumlah peruntukan RM6.79 juta. Armizan berkata, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan turut melaksanakan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa sejak 2023 bagi pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru. “Bermula tahun ini, amaun baucar digital FLYSiswa ditingkatkan kepada RM400, berbanding RM300 sebelum ini. “Bagi 2025, seramai 25,289 mahasiswa Sabah menerima manfaat melalui inisiatif itu, termasuk 18,335 pelajar yang menuntut di Semenanjung, 3,751 di Sarawak dan 3,203 di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Share this post: