TheMalaysiaTime

Inisiatif baharu kukuh kawalan lapangan terbang terhadap penyeludupan hidupan liar

2026-02-24 - 01:33

Malaysia Airports ambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh kewaspadaan di lapangan terbang melalui latihan kepekaan mengenai aktiviti penyeludupan hidupan liar, sambil membekalkan kakitangan dengan kemahiran untuk mengesan dan bertindak terhadap jenayah itu. (Moganraj Villavan @ FMT) SEPANG: Pegawai keselamatan penerbangan, Norhayati Othman membuat saringan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL(KLIA), mata beliau ditumpukan pada monitor imbasan sinar-X bagi mengesan sebarang objek yang mencurigakan. Apabila ada beg yang menimbulkan kecurigaan, ia akan dibawa ke kawasan pintu pelepasan, di mana penumpang dikenal pasti dan diminta membuka beg tersebut di hadapan pegawai daripada pihak berkuasa berkaitan. “Sebagai contoh, jika terdapat sebab untuk mempercayai terdapat haiwan hidup di dalam beg, kami akan menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS),” katanya kepada FMT. Walaupun anggota keselamatan seperti Norhayati hanya memainkan peranan sokongan, mereka merupakan sebahagian penting daripada usaha membanteras aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan hidupan liar. Inisiatif ‘Eyes at KUL’ Memandangkan modus operandi sindiket pemerdagangan hidupan liar semakin tersusun dan susah dikesan, Malaysia Airports meningkatkan usaha untuk memperkukuh pengesanan awal terhadap aktiviti sedemikian. Peserta dapat belajar pelbagai teknik digunakan penyeludup, dengan merujuk kes-kes di dalam dan luar negara sekali gus meningkatkan kepekaan petugas terhadap kemungkinan berlakunya penyeludupan. (Moganraj Villavan @ FMT) Ini dilaksanakan dengan melengkapkan bukan sahaja kakitangannya, malah semua petugas lapangan terbang lain dengan tahap kepekaan praktikal mengenai sebarang aktiviti yang janggal dan mencurigakan. Menerusi inisiatif ‘Eyes at KUL: Enhancing Frontline Awareness Against Wildlife Trafficking’, Malaysia Airports menghimpunkan petugas lapangan terbang dan rakan barisan hadapan pihak ketiga — termasuk ejen daftar masuk dan pengendali bagasi — yang selalunya menjadi pihak terawal berdepan keadaan mencurigakan atau kejanggalan pada bagasi. Kira-kira 200 petugas barisan hadapan menyertai bengkel tersebut, yang bakal diperluaskan tahun ini. Norhayati berkata usaha itu membolehkan kakitangan di pelbagai bahagian lapangan terbang berkongsi maklumat, sekali gus memudahkan petugas barisan hadapan mengesan beg mencurigakan dan kaedah penyeludupan hidupan liar. “Kami semua melakukan saringan bagasi di kawasan berbeza. Apabila semua memahami bentuk pemerdagangan hidupan liar dan cara penyembunyian dilakukan, kami tahu tanggungjawab masing-masing dan cara melaporkannya dengan betul,” katanya. Malaysia Airports berkata, walaupun penguatkuasaan adalah tanggungjawab sepenuhnya agensi seperti AKPS dan Perhilitan, usaha memerangi pemerdagangan hidupan liar memerlukan kerjasama semua pihak, justeru bengkel ini dijalankan bagi memperkukuh pengesanan awal. Dengan meningkatkan kesedaran terhadap penyeludupan hidupan liar ke dalam operasi harian, Malaysia Airports menyasarkan untuk mengurangkan peluang berlakunya aktiviti sedemikian pada peringkat paling awal, di samping melindungi reputasi KLIA sebagai pintu masuk antarabangsa yang kredibel. “Ini bukan isu kecil. Apabila penyeludupan berjaya, ia menjejaskan imej negara dan ekosistem kita. Sebab itu kerjasama ini penting,” kata Nor Hayati. (Moganraj Villavan @ FMT) Hanya sebahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar Dalam konteks lebih luas, pengurus komunikasi TRAFFIC Asia Tenggara, Elizabeth John, berkata pemerdagangan hidupan liar merupakan masalah besar di Malaysia tetapi sering dipandang ringan. TRAFFIC ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau pemerdagangan haiwan dan tumbuhan liar, sama ada yang secara sah atau haram, di seluruh rantau ini. Kerjasama pertubuhan itu dengan Malaysia Airports juga memastikan pihak keselamatan penerbangan dan penguatkuasa undang-undang mempunyai risikan terkini yang diperlukan untuk mengesan dan mengganggu rangkaian penyeludupan yang beroperasi melalui hab transit negara. Menurut rekod pertubuhan itu, hampir 12,000 haiwan hidupan liar dirampas daripada cubaan penyeludupan melalui udara yang melibatkan Malaysia sehingga Ogos 2025. Daripada jumlah itu, reptilia merangkumi bahagian terbesar rampasan, dengan 11,456 spesimen. “Ini daripada kes yang dikesan. Kita tidak nampak apa aktiviti yang berlaku secara rahsia, kemungkinan ia lebih besar,” kata Elizabeth. (Moganraj Villavan @ FMT) Memandangkan pemerdagangan hidupan liar dijalankan secara tersembunyi, angka rampasan hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada angka yang sebenar. Elizabeth berkata program seperti ‘Eyes at KUL’ amat penting kerana ia meletakkan isu pemerdagangan hidupan liar sebagai keutamaan dalam pemikiran petugas barisan hadapan. “Jika anda tidak tahu ia satu masalah, anda tidak mungkin dapat menyelesaikannya,” katanya. Selain meningkatkan kesedaran, inisiatif sebegini juga memperkukuh penyelarasan antara pelbagai unit di lapangan terbang. “Pegawai tahu kepada siapa laporan perlu dibuat dan bahagian mana yang boleh mengambil tindakan, sekali gus memudahkan kerjasama,” katanya, sambil menambah langkah itu meningkatkan kebarangkalian pengesanan awal. Beliau juga menegaskan bahawa teknologi semata-mata tidak mencukupi. “Anda tidak boleh hanya bergantung kepada peralatan imbasan. Sikap peka dan berjaga-jaga — mengesan bau, pergerakan, kotak basah — perkara mudah seperti ini boleh membawa kepada pengesanan awal,” katanya. Mengapa inisiatif ini penting Dengan membekalkan petugas barisan hadapan dengan pengetahuan praktikal dan laluan pelaporan yang jelas, Malaysia Airports berhasrat mengukuhkan kewaspadaan merentasi seluruh ekosistem lapangan terbang, sambil menghormati sempadan penguatkuasaan. Seorang pegawai Jabatan Imigresen yang mahu dikenali sebagai Lorell berkata bengkel yang telah dihadiri membantunya memahami asas pemerdagangan hidupan liar serta jenis penumpang yang mungkin terlibat, sesuatu yang sebelum ini beliau ‘tidak tahu langsung’. “Sebelum hadiri kursus ini, saya memang tiada pengetahuan langsung mengenai pemerdagangan hidupan liar. Selepas latihan ini, saya kini faham apa yang perlu diperhatikan dan lebih yakin untuk mengenal pasti penumpang yang kelihatan mencurigakan.” Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Malaysia Airports yang lebih luas terhadap kelestarian, operasi beretika, dan pematuhan kepada piawaian penerbangan global, menjadikan KLIA sebagai hab transit yang bertanggungjawab dan aktif menyokong usaha pemuliharaan peringkat nasional dan antarabangsa. Seperti yang dinyatakan Elizabeth, dalam menangani isu pemerdagangan hidupan liar, pada akhirnya ia adalah tanggungjawab bersama. “Segalanya bermula dengan permintaan. Apabila orang berhenti membeli, penyeludup akan berhenti berniaga,” katanya. Malaysia Airports komited untuk membanteras pemerdagangan hidupan liar. Walaupun penguatkuasaan diketuai oleh agensi berasingan, syarikat itu menekankan bahawa pasukan barisan hadapan memainkan peranan kritikal dengan mengenal pasti aktiviti mencurigakan pada peringkat awal, membantu melindungi reputasi negara dan menyokong usaha pemuliharaan nasional serta global. “Melalui latihan ini, kami membekalkan kakitangan dan rakan di lapangan terbang dengan pengetahuan untuk mengenal pasti risiko dan bertindak balas dengan sewajarnya, kerana kesedaran dan kewaspadaan tetap menjadi barisan pertahanan pertama untuk memastikan lapangan terbang selamat dan terjamin. “Melindungi hidupan liar juga selari dengan matlamat kelestarian kami yang lebih luas, dan dengan memasukkan kesedaran ini ke dalam operasi harian, Malaysia Airports menunjukkan bahawa perkhidmatan bertaraf dunia berjalan seiring dengan amalan beretika dan bertanggungjawab,” kata Malaysia Airports.

Share this post: