Indonesia akan keluar Lembaga Keamanan kecuali Palestin dapat manfaat
2026-03-07 - 07:03
Presiden Indonesia Prabowo Subianto menghadiri mesyuarat pertama Lembaga Keamanan di Washington bulan lalu. (Gambar EPA Images) JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan menarik diri daripada Lembaga Keamanan (BoP) diketuai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump jika tidak memanfaatkan rakyat Palestin, menurut kenyataan kerajaan selepas negara itu dikritik susulan serangan AS-Israel ke atas Iran. Bekas jeneral itu dikritik kumpulan Islam atas keputusannya menyertai BoP dan berjanji menghantar tentera pengaman ke Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata. Prabowo memberitahu pemimpin kumpulan Islam tempatan minggu ini, keahlian Indonesia dalam BoP bagi mencapai keamanan berkekalan di Gaza, menurut kenyataan agensi komunikasi kerajaan pada Jumaat. Tetapi, beliau berkata, negara itu akan menarik diri daripada BoP jika ia tidak memanfaatkan rakyat Palestin atau sejajar kepentingan Indonesia, menurut kenyataan memetik Hanif Alatas dari Front Pembela Islam. Majlis Ulama Indonesia, badan ulama tertinggi negara itu dalam kenyataan baru-baru ini, menggesa Jakarta menarik balik daripada BoP kerana “tidak berkesan merealisasikan keamanan sebenar di Palestin”. Prabowo menghadiri mesyuarat pertama BoP di Washington bulan lalu dan berjanji akan menghantar 8,000 tentera ke Gaza di bawah Pasukan Penstabilan Antarabangsa.