India kurangkan cukai petrol ekoran lonjakan harga minyak global
2026-03-27 - 10:10
Pemilik kenderaan beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Mumbai, India. (Gambar EPA Images) NEW DELHI: India mengurangkan cukai bahan api bagi petrol dan diesel untuk mengimbangi harga domestik ketika syarikat tenaga berdepan kos import meningkat di tengah-tengah lonjakan harga minyak mentah global. Duti eksais bagi petrol dikurangkan daripada 13 rupee (RM0.55) kepada tiga rupee (RM0.13) seliter, manakala duti diesel dikurangkan kepada sifar daripada 10 rupee (RM0.42) seliter, menurut pemberitahuan Kementerian Kewangan. Menteri Petroleum, Hardeep Singh Puri, berkata langkah itu akan memberi “kesan besar” kepada hasil kerajaan, tetapi membantu menampung “kerugian sangat tinggi” dihadapi syarikat minyak, yang dianggarkan sekitar 24 rupee (RM1.02) seliter untuk petrol dan 30 rupee (RM1.27) seliter untuk diesel. “Pada masa sama, cukai eksport dikenakan memandangkan harga antarabangsa bagi petrol dan diesel melonjak tinggi, dengan mana-mana kilang penapis yang mengeksport ke pasaran luar negara perlu membayar cukai tersebut,” katanya dalam hantaran X. India, pengguna minyak ketiga terbesar di dunia, sedang berusaha memastikan pasaran runcit tenaganya stabil di tengah-tengah kebimbangan meningkat terhadap bekalan berikutan pergolakan tenaga global yang dicetuskan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran. Harga minyak mentah antarabangsa meningkat daripada sekitar USD70 setong kepada sekitar USD122 setong dalam tempoh sebulan, kata menteri minyak India itu. Sektor minyak dan gas di wilayah Teluk terjejas akibat impak serangan AS dan Israel ke atas Iran serta tindakan balas Tehran. Jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan utama tenaga di sepanjang pantai selatan Iran, merosot secara mendadak susulan gangguan dan sekatan ke atas kapal mempunyai kaitan dengan negara tertentu. Meskipun dalam keadaan tidak menentu, India mempunyai rizab minyak mentah mencukupi untuk memenuhi permintaan kira-kira 60 hari, menurut Kementerian Petroleum. Beberapa tempat di India menyaksikan pembelian panik petrol susulan khabar angin kekurangan bekalan, manakala kerajaan sedang menangani permintaan gas memasak dengan meningkatkan pengeluaran gas petroleum cecair (LPG) serta membanteras aktiviti sorok dan perdagangan haram silinder gas. Pengguna domestik diberi keutamaan berbanding pengguna komersial dalam bekalan LPG. Bagaimanapun, kerajaan menegaskan tiada kekurangan bekalan LPG. “Selain pengeluaran domestik, 800 TMT (ribu metrik tan) kargo LPG yang dijamin telah pun diperoleh dan dalam perjalanan dari AS, Rusia, Australia dan negara lain,” menurut Kementerian Petroleum pada Khamis.