TheMalaysiaTime

Ikhtiar perdamaian roh, jiwa sebenar rakyat Malaysia, kata PM

2026-03-19 - 09:10

Anwar Ibrahim hargai usaha pelbagai pihak termasuk polis dalam menjayaka ikhtiar damai itu. PETALING JAYA: Ikhtiar perdamaian menerusi dialog Harmoni Madani semalam disifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘roh’ dan jiwa sebenar rakyat Malaysia. Anwar berkata usaha badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili Islam dan Hindu itu sebagai cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati. “Inilah roh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum. “Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya dalam kenyataan sambil menghargai usaha polis menjayakan usaha itu. “Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional.” Semalam, wakil NGO Muslim dan Hindu mengadakan pertemuan bagi mencari titik perdamaian dalam menangani beberapa isu sensitif, termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata dialog itu membuka ruang kepada kedua-dua komuniti berunding tanpa dipengaruhi provokasi pihak luar. Presiden Kuil-kuil Hindu dan Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia N Sivakumar pula berkata pertemuan itu penting bagi mencari penyelesaian harmoni. Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas serta audit tanah berkaitan rumah ibadat.

Share this post: