TheMalaysiaTime

Idris dakwa diri ‘tak layak’ jadi MB Perak

2026-03-25 - 09:21

Idris Ahmad anggap dirinya tak layak manakala Razman Zakaria menegaskan perjuangan politik tidak harus dilihat sebagai medan merebut jawatan. PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan dirinya ‘tidak layak’ menjadi menteri besar Perak dari parti itu jika Perikatan Nasional (PN) menang PRU16 akan datang. Kenyataan beliau menyusul selepas Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak Nurhafizul Badrul Hisham menamakan bekas menteri agama itu sebagai antara lima calon berpotensi untuk jawatan berkenaan. Selain Idris, Nurhafizul turut menamakan Ketua Pembangkang DUN Perak Razman Zakaria, Adun Selama Mohd Akmal Kamarudin, Adun Kamunting Mohd Fakhrudin Abdul Aziz dan Adun Manjoi Hafez Sabri yang juga timbalan ketua Pemuda PAS. “Semua orang layak kecuali saya,” kata Idris yang juga ketua pesuruhjaya PAS Perak kepada FMT. Dalam catatan di Facebook, Nurhafizul berkata calon berpotensi itu menunjukkan PAS Perak mempunyai barisan kepimpinan berwibawa dan bersedia menggalas tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberi mandat. Sementara itu, bercakap kepada FMT, Razman berkata perjuangan politik tidak harus dilihat sebagai medan merebut jawatan, sebaliknya berteraskan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Katanya, sejarah menunjukkan generasi terdahulu bangkit menentang idea seperti Malayan Union demi mempertahankan kepentingan orang Melayu, agama Islam dan tanah rizab Melayu, yang akhirnya membentuk kerangka Perlembagaan negara hari ini. “Bagi saya, hasil tarbiah yang diterima, jawatan adalah satu taklifan dan tanggungjawab, bukan tashrifan atau keistimewaan. “PAS mempunyai ramai calon, namun yang lebih penting ialah prinsip akauntabiliti dan integriti yang semakin terhakis pada masa kini. “Negara dan agama mesti diselamatkan,” katanya.

Share this post: