TheMalaysiaTime

Ibu Zara dibenar jadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman NGO

2026-03-18 - 06:50

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan pemohon menyerahkan semua dokumen berkaitan semakan kehakiman kepada Noraidah Lamat selewat-lewatnya esok. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membenarkan permohonan ibu Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman difailkan sebuah NGO bagi membatalkan inkues kematian anaknya. Berita Harian melaporkan Hakim Mahkamah Tinggi, Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan bertulis daripada Noraidah Lamat dan Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) serta penjelasan lisan NGO terbabit. Noraidah dinamakan pihak berkepentingan melalui permohonan kebenaran difailkan pada Januari 2025, manakala Pembela sebagai pemohon, dengan peguam negara dan Mahkamah Koroner dinamakan responden pertama serta kedua. Mahkamah turut mengarahkan pemohon menyerahkan semua dokumen berkaitan semakan kehakiman kepada Noraidah selewat-lewatnya esok dan menetapkan e-semak pada 26 Mac ini. Pada 21 Nov 2025, Pembela memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan inkues itu atas alasan ia dijalankan mengikut Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan, bukannya Ordinan Inkues Sabah 1959. Pertubuhan itu berhujah, undang-undang negeri berkenaan mengandungi perlindungan prosedur khusus dan sepatutnya digunakan dalam siasatan terbabit, selain memohon perisytiharan bahawa Ordinan 1959 adalah undang-undang terpakai serta menggugurkan prosiding sedang berjalan. Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 11 Feb lalu menangguhkan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal. Hakim Amir Shah Amir Hassan dilaporkan berkata, prosiding itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman mencabar kesahan inkues di Mahkamah Tinggi. Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan sebutan semula kes dan kemas kini status semakan kehakiman kepada pihak terbabit pada 27 Mac. Zara, 13, meninggal dunia pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi. Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis. Inkues bermula 3 Sept tahun lalu dengan 64 saksi dipanggil memberi keterangan dan prosiding dijadualkan bersambung 31 Mac ini.

Share this post: