Ibu tunggal hilang suami akibat Covid-19 tabah besarkan 6 anak
2026-03-21 - 01:11
Noor Syahida Suyud dan anak-anak menatap album gambar kenangan apabila dengan suaminya yang meninggal dunia hampir empat tahun lalu akibat Covid-19. KLANG: Setiap pagi sebelum matahari meninggi, Noor Syahida Suyud sudah memulakan rutin hariannya – menghantar anak ke sekolah, menyiapkan tempahan kuih dan menguruskan perniagaan kecil-kecilan dari rumah bagi menyara enam anaknya. Bagi ibu tunggal berusia 43 tahun itu, kehidupan berubah sekelip mata selepas suaminya Khairul Syakirin Abdul Wahab meninggal dunia secara mengejut akibat Covid-19 pada 10 Mac 2022 ketika mereka sekeluarga bercuti di Langkawi. Selepas kejadian itu, Syahida berpindah dari Kemaman, Terengganu ke Kampung Tok Muda, Kapar untuk tinggal berhampiran keluarganya. Namun cabaran sebenar bermula apabila dia perlu memikirkan cara membesarkan enam anak tanpa pekerjaan tetap. Isma Daniel, 19, Isma Darius, 18, Isma Darwish, 17, Nur Damia Wafi, 15, Nur Dhiya Wafi, 14 dan Isma Daris, 8, kesemuanya masih bersekolah. Berbekalkan pesanan arwah suaminya supaya meneruskan usaha yang pernah mereka lakukan bersama, Syahida kini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual kuih, mengambil tempahan makanan dan meneruskan penjualan minyak herba yang diusahakan arwah. Noor Syahida Suyud dibantu anaknya menjalankan perniagaan kuih secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan keluarga. “Kadang-kadang rasa seperti buat tiga atau empat kerja dalam satu masa. Pagi hantar anak ke sekolah, buat kuih, tengah hari ambil anak sekolah, petang sambung berniaga dan uruskan anak-anak,” katanya kepada FMT. Walaupun kehidupan tidak lagi seperti dahulu, Syahida berkata kehilangan bapa menjadikan anak-anaknya lebih matang dan memahami keadaan keluarga. “Mereka jarang meminta benda yang bukan keperluan. Ada juga yang cuba berniaga kecil-kecilan sendiri kerana tahu mama bekerja keras untuk mereka,” katanya. Antara detik paling membanggakan bagi Syahida ialah apabila Isma Daniel memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Gambang. Menurutnya, kejayaan itu turut dibantu oleh sokongan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), yang menjadikan keluarganya sebagai keluarga angkat sejak 2023. Pada awalnya, YKM menyalurkan bantuan persekolahan dan sumbangan Aidilfitri secara sekali bayar sebelum memberikan bantuan bulanan bagi membantu menampung kos pendidikan anak-anaknya. “Bantuan itu sangat membantu, terutama untuk tuisyen dan perbelanjaan sekolah. Anak saya ambil tuisyen menggunakan bantuan itu dan keputusannya meningkat hingga menjadi pelajar terbaik sekolah,” katanya. Pencapaian itu jelas membanggakan Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob yang ketika menubuhkan yayasan terbabit, mahu melihat anak yatim akibat Covid-19 dapat berdikari untuk jangka panjang. “Melalui pendidikanlah kita boleh bantu masa depan mereka. Kalau mereka berjaya, bukan sahaja mampu menjaga diri sendiri tetapi mungkin dapat membantu keluarga mereka juga. “Seperti janji kita, YKM akan jaga dia (Isma Daniel) sehingga tamat pengajian peringkat ijazah pertama,” kata bekas perdana menteri itu. Yayasan Keluarga Malaysia diketuai Ismail Sabri Yaakob membantu keluarga Noor Syahida Suyud antaranya dari segi elaun bulanan serta bantuan pendidikan ke menara gading. Beliau berkata YKM menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk elaun bulanan RM250 bagi penerima berusia 16 tahun ke atas dan RM200 bagi yang lebih muda, selain tuisyen dalam talian serta program motivasi bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Menurutnya, yayasan itu juga menyalurkan bantuan khas Aidilfitri bagi memastikan anak-anak yatim dapat menyambut perayaan seperti kanak-kanak lain. Bagi Syahida, Aidilfitri kini disambut secara lebih sederhana tanpa kehadiran suaminya yang dahulu gemar menggembirakan anak-anak setiap kali musim perayaan. Namun katanya, melihat anak-anak membesar dengan baik dan terus mengejar cita-cita sudah cukup menjadi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. “Selagi saya mampu, saya akan terus berusaha untuk mereka,” katanya. Dan Syahida tidak berseorangan kerana YKM akan terus berada belakang memberi bantuan sebaik mungkin untuk membela kebajikan keluarga terbabit.