TheMalaysiaTime

Hormat kerangka disepakati Anwar-Abang Jo selesai pertikaian minyak, kata penganalisis

2026-02-02 - 15:46

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg bersetuju pada Mei lalu bahawa Petros akan menjadi agregator gas domestik di Sarawak, manakala Petronas akan mengendalikan eksport LNG. PETALING JAYA: Seorang penganalisis menyeru pihak dalam pertikaian minyak dan gas di Sarawak menghormati perjanjian dicapai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Abang Johari Openg pada Mei tahun lalu, sambil menyifatkannya ia ‘alternatif berhemat’, berbanding sikap permusuhan dibimbangi mengeruhkan hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. James Chin dari Universiti Tasmania, mengambil maklum rangka kerja dipersetujui itu mengakui kewujudan bersama, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO). Ia menetapkan bahawa Petros akan dinamakan sebagai agregator gas bagi Sarawak, manakala Petronas akan mengendalikan eksport gas asli cecair (LNG), katanya. Deklarasi bersama itu juga menyatakan, sebarang perjanjian dan pengaturan dimeterai Petronas dan atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga, bagi tujuan penjualan gas asli cecair daripada sektor huluan merentasi rantaian nilai, kekal tidak terjejas. “Rangka kerja ini menjanjikan kestabilan dan rasa hormat satu sama lain, sekali gus memberikan masa untuk satu resolusi mampan tanpa menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya dalam surat kepada Dayak Daily. James Chin. Lapan bulan lalu, kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mengesahkan semula peranan masing-masing bagi syarikat minyak nasional, Petronas, dan Petros dalam membangunkan industri minyak dan gas di negeri itu. Kenyataan bersama itu mengiktiraf keupayaan Sarawak dan Petros yang semakin berkembang, selain mengekalkan peranan strategik Petronas di peringkat kebangsaan. Walaupun melalui siri dialog dan rundingan dengan Petros sejak 2024, Petronas menyatakan masih terdapat perbezaan membawa kepada ketidaktentuan berhubung tanggungjawabnya di Sarawak. Bulan lalu, Petronas memfailkan usul bagi memohon kebenaran memulakan prosiding di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kejelasan mengenai rangka kerja kawal selia yang terpakai untuk operasinya di Sarawak, serta bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan amalan tadbir urus berkaitan. Petronas menjelaskan saman berkenaan bukan bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menghalang Petros, sebaliknya mendapatkan keputusan muktamad daripada mahkamah atasan mengenai kedudukan undang-undang terpakai bagi sektor petroleum di negeri berkenaan. Syarikat minyak nasional itu menamakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak sebagai responden. Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Petronas. Dalam suratnya, Chin menyeru kerajaan persekutuan mengendalikan saman Petronas ini dengan ‘penuh waspada’, sambil memberi amaran tindakan itu boleh ‘mencetuskan kuasa tidak dapat dikawal’. Beliau berkata, ada gesaan di Sarawak agar PDA dibahaskan di DUN, dan memberi amaran tuntutan serupa berkemungkinan besar akan menyusul di Sabah. Chin berkata, isu tersebut boleh melarat ke DUN di Semenanjung, terutamanya di Kelantan dan Terengganu, yang mempunyai rungutan sejarahnya tersendiri mengenai hasil minyak. “Bayangkan kesan domino apabila badan perundangan negeri mencabar tindakan melampaui bidang kuasa pusat – apa yang bermula sebagai pertikaian di Sarawak boleh memecahkan perpaduan nasional dan hubungan persekutuan-negeri,” katanya. Katanya, PDA menghadapi tentangan hebat daripada ketua menteri Sabah dan premier Sarawak sebelum ia dikuatkuasakan. “Jika perincian sedemikian dan perundingan di sebalik tabir yang lain pula muncul di DUN, ia boleh mencetuskan kemarahan meluas mengenai bagaimana sumber Borneo diserahkan secara berkesan tanpa proses demokrasi sewajarnya,” katanya.

Share this post: