TheMalaysiaTime

Hero di bulan puasa

2026-03-03 - 01:33

Kedatangan Ramadan memang sentiasa dirindui dan kita sangat mengalu-alukannya. Sambutannya sinonim dengan majlis kenduri, ada juga yang memasang lampu hiasan mengelilingi rumah sejak hujung bulan Syaaban lagi. Di peringkat komuniti setempat, pasti ada promosi bazar; kemudian kita melihat iklan pakej iftar hotel dan restoran, sehinggalah jadual tazkirah di surau dan masjid berdekatan. Semua itu menambahkan lagi perisa kemeriahan Ramadan sehingga membuatkan semangat kita menunaikan ibadah puasa membara. Namun, di celah kemeriahan itu jarang kita menyingkap kisah sekelompok warga kerja yang menjalani Ramadan dengan cara jauh lebih mencabar tanpa sorotan, tanpa tepukan. Kesibukan mereka tidak memberi ruang untuk merakam foto bagi dimuat naik di media sosial. Mereka tidak sempat menulis kapsyen panjang tentang sabar menghadapi puasa. Mereka juga tidak punya waktu untuk mempamerkan menu berbuka. Padahal, hakikatnya mungkin merekalah kumpulan paling layak menerangkan makna sebenar menahan sabar di bulan mulia ini. Sejak kecil kita diajar ibadah puasa adalah tentang merasai lapar orang susah. Tetapi maksud susah itu sendiri berlapis-lapis. Ada yang sudah biasa dengan rutin tersebut sehingga tidak lagi menganggapnya sebagai susah kerana bagi mereka itu sekadar pekerjaan yang mesti dilaksanakan. Namun, apa salahnya jika kita yang jauh lebih selesa ini berhenti sejenak untuk melihat apa yang mereka tempuh setiap hari, sepanjang masa, termasuklah dalam bulan Ramadan ini. Kita sering merasakan kitalah yang paling teruji sehingga menidakkan apa yang dirasai oleh orang lain. Bayangkan seorang penunggang penghantaran yang memecut di bawah panas terik pada pukul 2 petang. Aspal membahang. Peluh berkuap di dalam topi keledar. Mata pedih menahan silau. Dia perlu memastikan barangan sampai kepada pelanggan yang sedang menunggu dengan resah. Lambat sedikit, ulasan buruk akan diperoleh sehingga karier boleh terjejas. Ramadan juga tidak membuat pekerja pembersihan yang menyapu dan mengemop lantai pusat beli-belah berhenti. Kerja tetap kerja, dari pagi sehinggalah tiba waktu berbuka. Ketika kita memilih kuih di bazar, mereka harus pastikan laluan orang ramai bersih dan teratur. Ketika kita duduk di meja panjang bersama keluarga, mereka mungkin berbuka ringkas di sudut kecil bawah tangga parkir yang panas dan melemaskan. Menu mereka sekadar air dan roti yang dibawa dari rumah. Jururawat dan doktor di wad kecemasan pula tidak punya waktu untuk rehat panjang. Pesakit terus berbaris. Tangisan dan suara mengerang tidak pernah reda. Dalam keadaan tubuh yang turut berpuasa, mereka tetap perlu cekap melaksanakan kerja. Puasa dan tugas berjalan seiring — taat kepada tuhan, berkhidmat kepada manusia. Dongakkan pula pandangan ke bangunan yang sedang dibina. Jangan tak percaya, masih ada pekerja binaan yang menyabung nyawa berdiri di atas perancah tinggi sana tetap terus bertahan menahan haus meskipun terpaksa menelan debu dan masin peluh. Anggota keselamatan seperti polis trafik mengawal lalu lintas dalam cuaca yang tidak menentu. Juruteknik keluar membaiki gangguan bekalan elektrik ketika orang lain sedang bersiap menunggu azan. Masing-masing dengan tugas yang mungkin tidak glamor, tetapi komited semata-mata untuk memberi keselesaan kita semua. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, ada satu lagi kelompok yang wajar dihargai iaitu rakan-rakan bukan Muslim yang menghormati bulan ini dengan cara mereka sendiri. Ada yang menahan diri daripada makan di hadapan teman sekerja yang berpuasa. Tidak mahu mengganggu, tidak mahu menyinggung. Mereka tidak berpuasa, tetapi mereka memahami nilai empati yang menjadi inti Ramadan. Penghormatan itu mungkin kelihatan kecil, namun maknanya besar. Bulan puasa bukan sahaja mengajar saya tentang lapar dan dahaga, tetapi tentang keikhlasan yang tidak memerlukan sorotan. Tentang amal yang tidak menunggu pujian. Renunglah sejenak. Dalam kita merancang memperbanyakkan ibadah bersedekah, bertarawih, bertadarus di bulan mulia ini ada yang tidak berpeluang melaksanakannya seperti kita kerana tuntutan tugas. Apakah ganjaran mereka? Apakah pahala kerja mereka turut digandakan pada bulan ini kerana sebagai ganti apa yang tak dapat mereka buat seperti kita? Di situlah kita wajar merenung, bukan membongkak. Habluminannas (hubungan sesama manusia) adalah ibadah yang berterusan tanpa ada had musim dan bulan. Puasa sering kita tafsir sebagai latihan menahan lapar dan dahaga. Tetapi mungkin juga ia latihan melihat dengan mata yang lebih peka. Melihat dengan hati yang lebih terbuka. Melihat mereka yang selama ini tidak kita nampak. Seteguk air selepas seharian berpuasa terasa luar biasa nikmatnya. Sesuap nasi terasa begitu bermakna. Jika begitu, bukankah penghargaan kecil kepada mereka yang bekerja keras juga wajar dilihat besar? Solidariti dan empati tidak semestinya perlu dizahirkan melalui kempen besar atau slogan indah di media sosial. Kadangkala cukup dengan mengucapkan terima kasih kepada ‘brader rider’ yang menghantar makanan tepat sebelum azan maghrib. Cukup dengan beristighfar dahulu sebelum marah-marah apabila pesanan lewat sedikit. Ingatkan yang jalan sesak, cuaca panas dan dia juga sedang berpuasa. Jika puasa menjadikan kita lebih cepat marah, lebih mudah menghukum atau lebih sibuk menilai amalan orang lain, mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan kita dalam menghayati roh Ramadan. Bagi saya, merekalah hero sebenar bulan puasa. Ramadan akan berlalu seperti tahun-tahun sebelumnya. Lampu hiasan akan diturunkan. Bazar akan ditutup. Status ucapan akan berhenti. Tetapi pekerja dan petugas ini akan terus bekerja pada bulan berikutnya dengan taat dan tekun, sama ada dilihat atau tidak. Soalnya, adakah hormat dan empati kita akan terus kekal atau ia juga akan turut berlalu bersama Ramadan nanti? Renungkan! Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: