TheMalaysiaTime

Henti ‘tarik tali’ dengan Dr Sam, fokus bina semula Bersatu, Muhyiddin diberitahu

2026-03-06 - 06:33

Rais Yatim (kiri) berkata Muhyiddin Yassin perlu memberi tumpuan bina semula Bersatu yang ‘dilanda ribut’, selepas berbalas kenyataan dengan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai calon perdana menteri. PETALING JAYA: Rais Yatim dari Bersatu menegur presiden parti itu, Muhyiddin Yassin yang ‘bermain tarik tali’ dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar, sambil berkata beliau sepatutnya menumpukan terhadap usaha membina semula ‘rumah yang baru dilanda ribut’. “Presiden Bersatu elok tumpu dulu pada rumah yang baru dilanda ribut. Kini tiang dah tinggal tak seberapa. Banyak goyang pada yang tegap,” katanya di Facebook. Hantaran itu susulan kenyataan antara kedua-dua pemimpin selepas Muhyiddin berkata pada Rabu bahawa Samsuri tidak semestinya calon perdana menteri PN bagi PRU akan datang walaupun dilantik sebagai pengerusi gabungan itu. Samsuri membalas dengan berkata bahawa keutamaan ketika ini ialah memperkukuh PN menjelang PRU16, sambil menambah bahawa Muhyiddin juga bukan lagi calon perdana menteri. Rais, bekas speaker Dewan Negara, berkata Muhyiddin sepatutnya memberi tumpuan untuk menyatukan masyarakat Melayu yang kini berpecah dalam pelbagai parti. “Padukan tenaga, satukan Melayu yang kini bersimpang-perenang dalam lapan parti politik sedangkan Tionghua punya dua parti besar DAP dan MCA. “Ketuk -ketuklah pintu Umno di hari baik bulan baik ini,” katanya sambil menambah, ‘Pak Zahid’ atau Presiden Umno Zahid Hamidi sudah tentu bercita-cita untuk menjadi perdana menteri juga. Rais berkata pemilihan perdana menteri bergantung kepada parti yang memperoleh jumlah kerusi Parlimen terbanyak, sambil menyatakan bahawa PAS kini memegang jumlah terbesar iaitu 43 kerusi. “Moga bertambah lagi di PRU-16,” katanya. Beliau juga berkata Muhyiddin seharusnya menyedari jumlah wakil rakyat Bersatu yang semakin berkurangan selepas tindakan pemecatan dalam parti, serta khabar angin bahawa baki Ahli Parlimen yang ada memberi sokongan kepada bekas timbalan presiden yang dipecat, Hamzah Zainudin. Pada 14 Feb, Rais meletakkan jawatan sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa Bersatu yang ditubuhkan untuk mengukuhkan perpaduan dalam parti, sehari selepas parti itu memecat 17 pemimpinnya termasuk Hamzah. Terdahulu hari ini, Zahid berkata pintu Umno ‘terbuka tanpa syarat’ kepada bekas ahlinya, dan ‘semua kesilapan serta perbezaan lampau akan dimaafkan’ dalam semangat Ramadan. Beliau juga berkata pada 10 Feb bahawa parti itu masih terbuka untuk menerima semula bekas ahli seperti Hamzah.

Share this post: