Hargai keterbukaan Umno, namun Annuar mahu kekal bersama PAS
2026-03-08 - 12:43
Annuar Musa yang menyertai PAS sejak Jun 2023 berkata, parti Islam itu buka ruang perjuangan yang cukup luas buat beliau. KUALA SELANGOR: Annuar Musa menegaskan beliau tidak berhasrat kembali kepada Umno walaupun parti lamanya itu terbuka menerima bekas ahli tanpa sebarang syarat menerusi gagasan Rumah Bangsa. Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang kini bersama PAS itu berkata, tiada sebab untuk beliau meninggalkan parti Islam itu kerana penyertaannya dibuat selepas pertimbangan mendalam berdasarkan prinsip perjuangan yang ingin dibawanya, khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam. “Saya rasa PAS adalah perjuangan untuk masa depan ... tidak ada sebab bagi saya untuk meninggalkannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Selangor. “Yang penting pada saya adalah perjuangan, bukan kedudukan atau tempat dalam mana-mana parti dan saya dapati PAS membuka ruang perjuangan yang cukup luas kepada saya dan saya bersyukur dengannya, maka saya berhasrat untuk kekal berada dalam PAS,” katanya. Beliau juga yakin ahli Umno lain yang menyertai PAS turut akan kekal bersama parti itu. “Setakat yang saya dengar, tak ada seorang pun yang mahu balik ... tak ada seorang pun daripada mereka yang nyatakan hasrat untuk beri sambutan kepada Rumah Bangsa,” katanya. Annuar menambah, sebelum ini beliau turut menerima pelawaan peribadi daripada rakan-rakan termasuk pemimpin kanan yang mengajaknya bersama inisiatif Rumah Bangsa. Pelawaan itu dihargainya, namun beliau mendakwa, parti itu masih di bawah kawalan individu tertentu. “Saya dapati Umno tidak dikawal oleh prinsip perjuangan dan sehingga sekarang seorang individu yang menentukan hala tuju parti itu. “Ini sangat berbeza dengan PAS di mana Majlis Syura menjadi keutamaan penting,” katanya yang menyertai PAS sejak Jun 2023. Mengulas gagasan Rumah Bangsa Umno, Annuar berkata, PAS terbuka dengan usaha itu termasuk membuktikan komitmennya dengan hadir pada pertemuan bersama lapan parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Khamis lepas. Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan.