Hanya seorang anak Daim hubungi SPRM
2026-03-04 - 05:53
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki gesa tiga lagi anak Daim Zainuddin hadir ke pejabat SPRM segera. PUTRAJAYA: Setakat ini hanya seorang anak Daim Zainuddin menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Md Wira Dani bagi membantu siasatan kes yang sedang dijalankan. Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata pihaknya menggesa peguam mewakili keluarga Daim memastikan tiga lagi anak bekas menteri kewangan itu hadir ke pejabat SPRM segera. “Sekarang seorang anak Daim baru hubungi kita. Tiga lagi tidak tahu keberadaan mereka. “Kita gesa pihak peguamnya hubungi ketiga-tiga anak Daim yang lain supaya hadir secepat mungkin ke pejabat kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM. Pada 27 Feb lalu, SPRM mengeluarkan notis bagi mendapatkan bantuan orang awam mengesan empat anak Daim iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. SPRM turut menyenaraikan alamat kediaman terakhir mereka yang diketahui serta memaklumkan dikehendaki bagi membantu siasatan, tanpa memperincikan butiran lanjut kes berkenaan. Pada 2024, SPRM menyita beberapa akaun bank milik balu Daim, Naimah Abdul Khalid, serta empat anak mereka. Sebanyak 18 syarikat dikaitkan dengan keluarga itu termasuk Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd turut disita. Naimah kini dibicarakan atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset dikeluarkan SPRM.