TheMalaysiaTime

Hanya pemegang permit khas sah dibenar isi petrol, diesel dalam tong

2026-03-26 - 15:21

Penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, pertanian, penternakan dan pelancongan antara yang layak mohon permit khas isi bahan api dalam bekas atau tong. PETALING JAYA: Hanya pemegang permit khas yang sah dibenarkan mengisi petrol atau diesel dalam bekas atau tong, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Tetapi, tegasnya, permit khas dikecualikan bagi situasi kecemasan dengan had pengisian tidak lebih 20 liter. “Pematuhan kepada peraturan ini penting bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah permohonan permit khas itu boleh dibuat menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my. Terdapat 10 kategori layak memohon permit khas, iaitu forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil. Petang tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan kelayakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) diselaras daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai 1 April ini susulan konflik di Asia Barat. Tetapi, harga RON95 bersubsidi dikekalkan RM1.99 seliter.

Share this post: