Hanya calon mampu satukan semua Melayu layak jadi PM, kata Dr M
2026-03-27 - 11:30
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata calon perdana menteri hanya boleh muncul melalui kesatuan orang Melayu, yang akan menentukan siapa paling layak mewakili kepentingan komuniti itu. PETALING JAYA: Keupayaan menyatukan orang Melayu faktor paling penting dalam menentukan individu layak menjadi perdana menteri, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, jawatan presiden parti politik atau status calon perdana menteri tidak menjamin seseorang itu dilantik menerajui negara. “Berpecah kepada banyak parti, tidak ada parti yang akan menang PRU. “Jika tidak menang PRU, tidak mungkin jadi perdana menteri walaupun mendapat sokongan parti yang diketuai. Oleh itu, apa perlunya menjadi ketua parti?” katanya dalam kenyataan tanpa merujuk atau menamakan mana-mana individu atau parti secara spesifik. Tegasnya, calon perdana menteri hanya boleh muncul melalui kesatuan orang Melayu, yang akan menentukan siapa paling layak mewakili kepentingan komuniti itu. Beliau turut menekankan slogan “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh” dalam landskap politik semasa, dengan memberi amaran terlalu ramai calon hanya meningkatkan risiko semua calon kalah, sekaligus melemahkan kedudukan politik orang Melayu dalam pilihan raya.