Hantaran hina agama: Menteri seru masyarakat matang, berhemah guna media sosial
2026-02-25 - 05:13
Aaron Ago Dagang berkata polis sedang menyiasat kes babit pelajar UMPSA manakala Fahmi Fadzil arah SKMM siasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. PETALING JAYA: Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menyeru masyarat bertindak matang dan berhemah dalam menggunakan media sosial dengan sentiasa menjunjung nilai hormat serta toleransi. Kenyataan itu menyusul selepas penyebaran kandungan di media sosial dari akaun milik seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menyentuh isu berkaitan agama dan menghina agama Islam sehingga berpotensi menggugat keharmonian awam. Menurut Aaron, kerajaan tidak berkompromi dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kaum yang tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan provokasi. “Saya menyeru semua pihak segera menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian dan tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial. “Kepelbagaian agama di negara ini adalah aset yang wajib dipelihara, bukan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu,” katanya dalam kenyataan. Aaron berkata beliau dimaklum siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024. “Pada masa yang sama, Polis Pahang turut menjalankan siasatan terhadap individu terlibat mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. “Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memastikan keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara,” katanya. Ketua Polis Pahang Yahaya Othman mengesahkan seorang pelajar UMPSA ditahan awal pagi tadi untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. Sejak semalam tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial. Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kes itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. “SKMM akan menyelaras bersama polis untuk mengambil tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. Beliau berkata kerajaan juga mengecam sekeras-kerasnya insiden itu yang disifatkan biadab, menghina Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. “Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.