Hannah arah lapor polis video dakwa MPP minta wang perlindungan
2026-03-26 - 04:50
Rakaman CCTV tular memaparkan dua individu memperkenalkan diri sebagai ahli Majlis Perwakilan Penduduk sebelum meminta wang perlindungan daripa sebuah rumah urut. PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh mengarahkan laporan polis dibuat terhadap satu video tular yang mendakwa ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) meminta wang perlindungan dari sebuah rumah urut. Yeoh berkata siasatan perlu dimulakan serta-merta bagi menentukan kesahihan dakwaan yang timbul dalam video tersebut. “Sekiranya dakwaan itu terbukti benar, ahli MPP yang terlibat akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi. “Pendirian kita jelas, tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” katanya di Facebook. Menurutnya, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk amalan wang perlindungan atau penggunaan orang tengah dalam urusan berkaitan pihak berkuasa tempatan. Beliau turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau membuat aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang salah laku bukan sahaja melibatkan MPP, tetapi juga mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP dapat disiasat dengan telus. Terdahulu, tular satu rakaman CCTV memaparkan dua individu dipercayai daripada sebuah parti politik memperkenalkan diri sebagai MPP sebelum meminta wang perlindungan daripada sebuah rumah urut.