Hamzah yakin mampu jadi ‘jambatan’ gabungan besar
2026-03-17 - 10:51
Hamzah Zainudin beri bayangan ‘kapal kecil’ bakal diterajuinya dilengkapi ‘teknologi’ untuk memantapkan kerjasama dengan bahtera atau parti politik besar. KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yakin beliau mampu menjadi ‘jambatan’ antara dua gabungan politik besar bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan negara. Bekas menteri itu berkata landskap politik Malaysia ketika ini memerlukan seseorang yang boleh merapatkan jurang antara pelbagai kumpulan politik bagi membentuk pasukan lebih besar dan stabil. Tanpa menamakan gabungan parti mana, kenyataan Hamzah itu dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Bekas pemimpin Umno dan PN itu berkata beliau boleh berbincang dengan mana-mana pemimpin parti seperti Presiden Umno Zahid Hamidi dan Presiden PAS Hadi Awang kerana mempunyai hubungan baik. Hamzah mengimbau hubungan dengan Zahid bermula sejak zaman Pemuda Umno sekitar 1980-an, begitu juga dengan Hadi yang semakin rapat apabila PN ditubuhkan, malah hubungan itu berterusan walaupun selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada 13 Feb lalu. “Saya percaya boleh memainkan peranan itu (perantara atau jambatan),” kata Hamzah dalam temu bual dengan media sambil menyatakan beliau mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin kecuali seorang presiden parti yang tidak dinamakannya. Mengikut rekod, Hamzah sebelum ini mengisytiharkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai musuh nombor satunya selepas dipecat daripada parti itu bulan lalu. Tolak tanggapan lemah Hamzah bagaimanapun menolak tanggapan beliau kini berada dalam kedudukan politik lebih lemah walaupun tidak berada dalam struktur kepimpinan PN ketika ini. Beliau berkata setiap kumpulan mempunyai kekuatan tersendiri dan ‘kapal kecil’ bakal dilancarkannya mempunyai pendekatan serta ‘teknologi’ baharu yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak politik. Kapal kecil itu merujuk kepada parti yang akan ditubuhkan sebagai platform perjuangan baharu susulan pemecatannya daripada Bersatu, yang sebelum ini menyaksikan beliau memegang jawatan timbalan presiden. “Saya percaya kumpulan saya mempunyai kekuatan tersendiri. “Jika ada pihak tidak mahu menerima pendekatan itu, maka mereka boleh memilih tidak bersama,” katanya. Penstrukturan diumum Sabtu lalu itu menyaksikan PAS menguasai kedudukan utama dalam PN. Selain pengerusi yang kini digalas Ahmad Samsuri Mokhtar, parti Islam itu turut memegang jawatan setiausaha agung gabunagan itu menerusi Takiyuddin Hassan. Hamzah turut menekankan keperluan melakukan ‘reset’ terhadap struktur, institusi dan sistem negara bagi membolehkan pembaharuan menyeluruh, merujuk gerakan dilancarkannya pada 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat Bersatu. Menggunakan analogi teknologi, Hamzah berkata proses ‘reset’ diperlukan apabila sistem sedia ada tidak lagi berfungsi dengan baik. “Kita tidak reset sesuatu untuk menjadikannya lebih buruk. Kita reset kerana mahu sistem yang lebih baik,” katanya. Menurutnya, usaha membina negara juga memerlukan modal atau kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang mempunyai integriti dan kredibiliti. “Modal itu datang daripada kepercayaan dan apabila rakyat yakin serta percaya kepada kumpulan berintegriti, barulah kita boleh membangunkan sesuatu lebih besar,” katanya.