TheMalaysiaTime

Hamzah ‘sangat marah’, gelar kami ‘6 jahanam’, kata Ahli Parlimen Labuan

2026-03-01 - 23:23

Suhaili Abdul Rahman berkata tindakannya sokong kerajaan memandangkan Bersatu kini dilanda krisis. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mendedahkan Hamzah Zainudin ‘sangat marah’ sehingga memberikan gelaran ‘enam jahanam’ kepada beliau serta lima lagi wakil rakyat susulan tindakan mengalihkan sokongan kepada kerajaan. Suhaili berkata Hamzah tidak berpuas hati kerana mereka membuat keputusan menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim pada 2023 tanpa merujuk kepada beliau, menyebabkan suara Ahli Parlimen dari Bersatu berkurangan di Dewan Rakyat. Hamzah ketika setiausaha agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). “Tindakan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak terutama Hamzah, malah beliau sangat marah apabila mengetahui kami membuat keputusan tanpa merujuk kepada beliau untuk meninggalkan PN. “Bagaimana beliau boleh menjadi punca kami menyokong kerajaan Madani sedangkan beliau sendiri memberikan kami pelbagai gelaran seperti ‘enam jahanam’,” katanya dalam temu bual dengan FMT. Selain Suhaili, wakil rakyat Bersatu yang menyokong pentadbiran Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). Januari lalu, Hamzah memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap bekas pemimpin Bersatu Redzuan Yusof berhubung dakwaan beliau menggerakkan enam Ahli Parlimen terbabit. Ahli Parlimen Larut itu mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataannya diterbitkan di Berita Harian pada 5 Nov 2025 yang dianggap palsu, berniat jahat dan mencemar reputasi sebagai ketua pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu. Hamzah dan beberapa yang lain dipecat daripada Bersatu bulan lalu susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Beliau kemudiannya mengisytiharkan perang terhadap Muhyiddin, menyifatkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ bekas perdana menteri itu. Mengulas lanjut, Suhaili turut mendakwa perkembangan dalam Bersatu itu menunjukkan keputusannya bersama lima yang lain sebagai ‘tepat’ kerana tidak terperangkap dengan polemik dan dapat meneruskan tugas untuk rakyat. “Kami menikmati peruntukan sama seperti Ahli Parlimen kerajaan yang lain dan boleh bantu rakyat, mereka rugi. “Kami tidak menyesal lebih-lebih lagi melihat Bersatu sekarang, orang nampak cacat-cela,” katanya yang meminta Bersatu lebih realistik Beliau turut menyatakan Anwar mengotakan janji membantu beliau dan lima wakil rakyat terbabit yang manfaatnya dirasai rakyat. “Seperti contoh bagi meningkatkan bekalan air, kerajaan telah beri RM300 juta yang projek itu selesai 2030. “Elektrik pula telah diluluskan jana kuasa baharu berkapasiti 120 megawatt (MW) yang dijangka siap 31 Dis 2027,” katanya.

Share this post: