TheMalaysiaTime

Hamzah kesal harga diesel naik 80 sen, gesa pelan mitigasi

2026-03-19 - 11:10

Menurut Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, kerajaan sepatutnya ambil pendekatan lebih berhikmah seperti tangguh kenaikan harga minyak atau laksana secara berperingkat. PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin meluahkan kekesalan berhubung kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter, menyifatkan harga pada paras tertinggi dalam sejarah negara itu tidak sesuai menjelang Aidilfitri. Beliau berkata, kenaikan tersebut akan memberi kesan rantaian, terutama terhadap kos pengangkutan yang seterusnya mendorong peningkatan harga barangan. “Tindak-tanduk kerajaan ini memperlihatkan perdana menteri tidak sensitif terhadap denyut nadi rakyat, khususnya ketika umat Islam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan. Hamzah berkata, walaupun harga minyak dunia meningkat susulan konflik di Asia Barat, kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan lebih berhikmah seperti menangguhkan kenaikan atau melaksanakannya secara berperingkat. “Rakyat boleh faham harga minyak dunia ketika ini melonjak akibat konflik di Asia Barat, tetapi kerajaan perlu berhikmah dalam membuat sesuatu keputusan. Tidak salah kenaikan itu ditangguhkan dulu selepas Aidilfitri, atau dibuat secara berperingkat. “Impak kenaikan harga minyak terhadap kehidupan rakyat ini tidak cukup dengan pengumuman diskaun tol raya. Malahan ia mengundang persepsi sinikal seolah-olah kerajaan cuma beri sedikit dan ambil kembali dalam jumlah besar dari rakyat,” katanya. Sehubungan itu, Hamzah menggesa kerajaan membentangkan pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh di Parlimen bagi membantu rakyat menghadapi impak ekonomi. “Bentangkan segera di Parlimen supaya rakyat dapat lebih bersedia menghadapi impak ekonomi disebabkan peperangan Teluk yang berlarutan,” katanya. Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM4.72 seliter, manakala harga petrol RON97 meningkat 70 sen kepada RM4.55 seliter. Bagaimanapun, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI95, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter. Kementerian berkata, kenaikan itu berpunca daripada peningkatan harga minyak global susulan konflik di Timur Tengah. Katanya, walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik masih dipengaruhi pasaran antarabangsa.

Share this post: