TheMalaysiaTime

Hamzah gesa Putrajaya rangka segera pelan kontingensi menyeluruh

2026-03-25 - 10:30

Hamzah Zainudin mendakwa skim bantuan sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti kos operasi dalam sektor pertanian. PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa kerajaan segera merangka pelan kontingensi nasional yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Beliau berkata kegagalan menangani isu itu dengan berkesan bakal mengheret Malaysia daripada krisis harga minyak kepada krisis keselamatan bekalan makanan yang lebih serius. “Pelan Kontingensi Nasional harus dibuat segera dengan mengambil kira keadaan konflik di rantau Teluk. “Ia harus jelas dan menyeluruh supaya semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat bersedia menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sambil menekankan negara perlu kepimpinan yang mendengar denyut nadi. “Memahami realiti sebenar di bawah sana dan sentiasa jujur dalam setiap tindakan,” katanya. Mengulas lanjut, Hamzah mendakwa skim bantuan sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti kos operasi di bendang dengan memetik isu jentera penuai dan pembajak yang masih tidak disenaraikan dalam skop bantuan BUDI-Agri Madani. “Subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian jelas tidak lagi mencerminkan realiti kos semasa.” katanya. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM4.72 seliter, berlatarkan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat. Pada 11 Mac lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung masing-masing dikekalkan pada RM1.88 dan RM2.15 seliter.

Share this post: