TheMalaysiaTime

Hamzah dakwa dipecat kerana ingin satukan pemimpin Melayu

2026-03-17 - 11:11

Hamzah Zainudin dakwa pemecatannya menunjukkan pemimpin tertentu tidak bersedia menerima konsep penyatuan Melayu sebenar. KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, mendakwa usaha beliau untuk menyatukan pemimpin Melayu membawa kepada pemecatannya dalam Bersatu. Hamzah dalam temu bual dengan media berkata usahanya itu termasuk bertemu Presiden Umno, Zahid Hamidi, yang didakwa diadakan atas permintaan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad. Pertemuan di Bangkok itu disebut dalam liputan media menyusuli pemecatan Hamzah, 13 Feb lalu. Presiden Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Hamzah terlibat dalam rundingan dengan Zahid untuk membentuk percaturan politik baharu, tanpa pengetahuan serta kebenaran parti. Hamzah hari ini mengatakan beliau bertemu Zahid kerana diminta Mahathir untuk menyatukan pemimpin Melayu, bawah Sekretariat Payung Besar. “Beliau (Mahathir) minta saya mempengerusikan satu jawatankuasa untuk membawa balik semua pemimpin Melayu menjadi satu,” katanya dalam temu bual siang tadi. “Jadi tak salahlah saya jumpa presiden Umno. Tapi saya dipecat kerana berjumpa maknanya mentaliti ada pada ketika itu ‘payung itu hanya boleh pilih-pilih’.” Hamzah mendakwa pemecatannya menunjukkan pemimpin tertentu tidak bersedia menerima konsep penyatuan Melayu sebenar, menegaskan pemimpin yang mahu menjadi ‘payung bangsa’ tidak boleh bersikap selektif. “Kalau nak jadi payung tapi pilih-pilih, dia tak bolehlah jadi payung. Maknanya anda tidak ikhlas,” katanya. Hamzah tidak nampak kemungkinan akan bekerjasama dengan Muhyiddin, memandangkan masing-masing telah mengisytiharkan permusuhan. Katanya, beliau sedang mempertimbangkan hala tuju dan persiapannya. Keputusan sama ada beliau akan menerajui parti baharu atau menyertai parti lain akan diketahui selepas Aidilfitri, tambahnya. “Saya kini berada di lampu isyarat untuk tentukan gerak ke depan, kiri atau kanan dengan ada orang di belakang, jadi lupakan mereka. Kita sekarang bermain di padang sama dan mereka tak boleh dakwa lebih besar dari saya,” katanya. Selepas pemecatannya susulan krisis dengan Muhyiddin, Hamzah melancarkan ‘reset’ atau ‘tetapan semula’ di hadapan para penyokong, menyifatkan ia sebagai langkah permulaan ke arah penambahbaikan untuk menjadi asas masa depan negara. Pelancaran itu disusuli dengan ura-ura beliau akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, yang mana perbincangan dengan pengasas sedang berjalan. Bekas menteri dalam negeri itu berkata 90% daripada agenda ‘reset’ telah dipersetujui, sebelum pihaknya boleh memuktamadkan pengambilalihan Parti Keluarga Malaysia. “Kita masih memerlukan 10% untuk memuktamadkan segalanya,” katanya.

Share this post: