TheMalaysiaTime

Hamzah cabar Muhyiddin berundur jika mampu sertai PN

2026-03-07 - 03:43

Hamzah Zainudin berkata Muhyiddin Yassin patut mencontohi Onn Ja’afar meletak jawatan presiden selepas melihat ramai barisan kepimpinan parti tidak sehaluan dengan pemikirannya. PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin mempersoalkan siapa Muhyiddin Yassin untuk menentukan beliau tidak boleh menyertai Perikatan Nasional (PN) dan mencabar bekas perdana menteri itu berundur jika mampu menyertai gabungan berkenaan. Ia susulan kenyataan Muhyiddin pada Rabu lalu tidak melihat sebarang kerjasama antara beliau dengan Ahli Parlimen Larut selepas ini dan akan menolak jika Hamzah mahu menyertai PN menerusi parti baharu. Hamzah berkata, kenyataan presiden Bersatu itu seolah-olah dia berkuasa. “Dia kata saya tak boleh jadi ahli PN. Siapa dia nak tentukan? Saya nak tanya dia, kalau saya boleh jadi ahli PN, adakah dia akan berhenti? “Kalau dia kata nak berhenti, saya akan cuba sedaya upaya menjadi ahli PN supaya dia boleh berhenti,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan di Port Dickson malam tadi. Rabu lalu Muhyiddin dilaporkan berkata sukar untuk beliau meletakkan kepercayaan kepada Hamzah sekali lagi selepas ‘dikhianati’ dan dirinya sentiasa perlu berwaspada. Tegasnya hak menerima keahlian dalam PN bukan datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen. Hamzah pada Selasa lalu mengesahkan perbincangan untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia sedang berjalan, selepas Pengasasnya Khairi Jaya dilaporkan berkata proses itu sudah “90% pasti”. Langkah itu menyusul tindakan Bersatu memecat Hamzah pada 13 Feb lalu ekoran krisis kepimpinan dengan Muhyiddin. Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata beliau tidak menyangka ramai pemimpin Bersatu, termasuk 118 ketua bahagian menyokongnya selepas dipecat dan secara tidak langsung menunjukkan parti tidak lagi mendapat sokongan ketua bahagian. “Saya dapat tahu dah melebihi 60 bahagian yang dibubarkan. “Kalau sayalah jadi presiden, walaupun saya adalah pengasas parti, tapi kalau dah ramai sangat berhenti, maka itu menunjukkan parti ini tiada lagi dokongan daripada pemimpin bahagian.” Katanya Muhyiddin patut mencontohi Pengasas Umno Onn Ja’afar yang meletak jawatan presiden selepas melihat ramai barisan kepimpinan parti tidak sehaluan dengan pemikirannya.

Share this post: