Hajiji lantik tokoh perbankan Andrew Sheng penasihat khas
2026-03-27 - 08:50
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata pengalaman luas serta kelayakan kukuh Andrew Sheng akan menjadi aset penting kepada Sabah. (Gambar Jabatan Ketua Menteri Sabah) PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor melantik tokoh perbankan Asia Andrew Sheng sebagai penasihat khasnya dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan pelaburan negeri. Beliau berkata, pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset penting kepada Sabah. “Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya selepas pertemuan bersama Sheng di kediaman rasmi ketua menteri, Sri Gaya, hari ini. Sheng, warga Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong, mempunyai pengalaman luas dalam institusi kewangan dan pelaburan di peringkat Asia serta global. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai ketua ekonomi dan penolong gabenor Bank Negara Malaysia, timbalan ketua eksekutif Hong Kong monetary authority, serta pengurus kanan di Bank Dunia. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong. Kini, Sheng merupakan profesor khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (kampus Shenzhen) serta ahli majlis penasihat antarabangsa bagi beberapa badan kewangan utama China termasuk Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC). Pada April 2013, Majalah Time menamakan beliau sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.