TheMalaysiaTime

Hadi tolak ‘Rumah Bangsa’: kerjasama Umno-PAS buntu

2026-03-16 - 01:04

Zahid Hamidi tidak perlu menunggu Hadi Awang dan PAS untuk menjayakan agenda ‘Rumah Bangsa’. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Penegasan Presiden PAS Hadi Awang yang menolak agenda ‘Rumah Bangsa’ anjuran Umno mungkin membuatkan usaha kerjasama dua parti itu pada PRU16 menemui jalan buntu, kata penganalisis. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata pendirian Hadi yang menyifatkan inisiatif itu tidak berteraskan Islam bukan kenyataan biasa, sebaliknya dizahirkan melalui nukilan berkala Minda Presiden. Menurutnya, nukilan itu sarat dengan hujah ideologikal dan disokong dalil agama, sekali gus sering menjadi rujukan penting kepada ahli serta penyokong kerana mencerminkan garis panduan politik presiden parti. “Apabila beliau menyatakan gagasan Rumah Bangsa dibawa Umno tidak berteraskan Islam, kenyataan itu boleh ditafsirkan penolakan jelas terhadap kerangka kerjasama dicadangkan parti itu. “Dalam konteks lebih luas, pendirian itu memberi isyarat idea menghidupkan semula kerjasama politik antara PAS dan Umno seperti pernah berlaku melalui Muafakat Nasional (MN), mungkin berdepan jalan buntu buat masa ini,” katanya kepada FMT. Hisommudin mengulas sama ada pendirian Hadi terhadap inisiatif tersebut, yang bermula 5 Mac lalu dengan pertemuan lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera, akan menjejaskan cadangan kerjasama Umno-PAS. Parti lain terlibat ialah PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan). Disember lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan penyatuan partinya dan PAS bawah MN, lalu disambut Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkannya sebagai kebangkitan ummah. Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa mengulangi gesaan menghidupkan semula MN, yang dibentuk pada 2019 sebelum terkubur menjelang PRU15, apabila PAS bergabung dengan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN). Susulan penolakan Hadi, Hisommudin mencadangkan Presiden Umno Zahid Hamidi tidak perlu menunggu PAS atau terlalu bergantung pada parti itu dalam meneruskan agenda Rumah Bangsa. “Sekiranya gagasan ini benar-benar bertujuan memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap Umno serta mengembalikan naratif perjuangannnya, maka Umno perlu bergerak secara konsisten dengan agenda telah dirangka. “Jika gagasan itu berjaya membina semula kepercayaan pengundi Melayu terhadap Umno, ia berpotensi mengembalikan kedudukannya sebagai pemain utama dalam politik Melayu selain menenggelamkan pengaruh pesaing khususnya PN yang berdepan beberapa dinamik dalaman,” katanya. Namun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpendapat kerjasama Umno-PAS masih ada harapan kerana kedua-duanya boleh bergabung jika ada potensi untuk menang, lebih-lebih dengan dakwaan akan berlaku gelombang Melayu pada PRU16. “Memang kenyataan Hadi itu akan mungkin membuatkan ahli Umno menjauhkan diri dari PAS tetapi kena faham bila lihat perkembangan politik beberapa tahun kebelakangan ini...politik ibarat mainan elit. “Mungkin Hadi dan Zahid boleh bekerjasama,” katanya. Senada dengan Hisommuddin, Syaza berkata Zahid perlu meneruskan agenda ‘Rumah Bangsa’ tanpa PAS untuk membuktikan Umno boleh memimpin perjuangan Melayu. “Kalau Umno mengejar PAS memang nampak Umno seperti tak boleh memimpin politik Melayu tanpa PAS,” katanya, sambil berkata parti pimpinan Zahid juga akan dilihat sebagai inklusif dan sederhana.

Share this post: