TheMalaysiaTime

H&H dance group satukan komuniti melalui tarian, pakaian tradisional

2026-03-25 - 01:20

H&H dance group meraikan kepelbagaian kaum untuk pupuk perpaduan menerusi tarian. KUALA LUMPUR: Lagu Serumpun mencetuskan fenomena dalam sambutan Aidilfitri dua tahun lalu apabila rentaknya yang rancak serta lirik mudah diingati pantas menjadi siulan ramai. Tidak hairanlah apabila lagu nyanyian Mimifly itu kemudian menjadi pilihan pengguna media sosial untuk mengiringi pelbagai persembahan ringkas yang dimuat naik ke platform digital. Antara yang mencuri perhatian ialah sekumpulan wanita berusia 50 hingga 70 tahun daripada pelbagai kaum menamakan diri mereka H&H (Healthy and Happy) dance group, komuniti yang menjadikan tarian sebagai cara mengamalkan gaya hidup sihat. Lebih menarik, setiap kali menghasilkan kandungan yang dimuat naik ke media sosial, mereka tampil lengkap mengenakan busana tradisional Asia Tenggara iaitu kebaya. “Kami muat naik video menari ke TikTok sekadar suka-suka sahaja. “Tidak sangka pula ia menjadi tular dan menerima banyak ‘like’ serta komen positif daripada orang ramai,” kata wakil kumpulan itu, Sugiarti Rizal kepada FMT. Usia bukan penghalang untuk ahli kumpulan H&H dance group kekal aktif. Sugiarti, 56, berkata pemilihan kebaya bukan sekadar untuk mencantikkan persembahan, malah sebagai usaha memperkenalkan serta memelihara warisan budaya serantau. “Kami sering mengenakan kebaya atau pakaian tradisional lain ketika menari bersama untuk menambah seri persembahan. “Kebaya cukup istimewa kerana melambangkan keanggunan wanita Asia Tenggara dan ia perlu dipelihara untuk generasi mendatang,” tambahnya. Mengimbau kembali penubuhan kumpulan itu, Sugiarti berkata H&H dance group diasaskan secara rasmi pada 14 Okt 2017 bersama empat sahabat rapatnya yang dikenali sebagai Latipah, Amanda, Elly dan Sim. Bermula dengan hanya lima ahli, kumpulan itu kini berkembang sekitar 50 anggota, sekali gus menjadi ruang untuk mereka menjalinkan persahabatan merentas kaum sambil kekal aktif melalui aktiviti tarian dan senaman. “Kami biasanya berkumpul setiap hujung minggu di Taman Tasik Manjalara dan Taman Desa untuk menari dan bersenam bersama. “Jika ada sambutan istimewa atau perayaan seperti Aidilfitri, barulah kami mengenakan pakaian tradisional bagi memeriahkan suasana,” katanya. Bagi Sugiarti, tarian bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi juga medium mengekalkan kecergasan fizikal dan kesejahteraan emosi pada usia emas. Malah katanya, kehadiran mereka di media sosial turut menjadi simbol kepada semangat perpaduan, kecintaan terhadap budaya dan gaya hidup sihat boleh diraikan bersama. “Tanpa mengira usia atau latar belakang,” katanya.

Share this post: