TheMalaysiaTime

Guna jawatan bantu keluarga dapat rumah SMJ, pegawai kemajuan masyarakat mengaku tak salah

2026-03-06 - 13:04

Herman Idris, 52, berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sandakan guna jawatan untuk suapan kepada dua ahli keluarga. (Gambar fail) PETALING JAYA: Pegawai kemajuan masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sandakan kerana menggunakan jawatan bagi mencadangkan dua ahli keluarganya mendapat bantuan bantuan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM70,000 pada 2022. Herman Idris, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus. Tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam, di kawasan DUN Elopura telah menggunakan jawatan untuk suapan kepada dua ahli keluarga dengan mengesyorkan mereka sebagai penerima rumah SMJ dan seterusnya terpilih menerima bantuan itu. Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan pada 2.30 petang 26 Sept 2022, menurut Bernama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala Herman diwakili Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon. Hakim membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dengan Herman dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, selain menetapkan 2 April untuk sebutan semula kes.

Share this post: