TheMalaysiaTime

Gudang terbakar, 76.8 tan limau mandarin musnah

2026-02-02 - 00:56

Sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu yang terbakar malam tadi. (Gambar JBPM) KOTA BHARU: Sebanyak 76.8 tan limau mandarin untuk bekalan sambutan Tahun Baharu Cina musnah dalam kebakaran sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan, di sini, kira-kira 9 malam tadi. Pengurus gudang, Hong Leng Feng, 40-an, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan daripada penduduk tinggal berhampiran premis tersebut. “Semua limau mandarin ini merupakan bekalan untuk seluruh Kelantan, dengan kebanyakan pasar raya di Kota Bharu mendapat bekalan dari gudang ini,” katanya di lokasi kejadian malam tadi. Beliau berkata, gudang itu sudah beroperasi kira-kira 40 tahun dan musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan, sekali gus dijangka menjejaskan bekalan limau mandarin sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini. “Selain limau mandarin, semua bekalan bawang disimpan dalam gudang ini turut musnah.” Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Mohd Fadhlizil Iqram Ahmad Pauzi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada 9.09 malam sebelum menghantar pasukan ke lokasi. Menurutnya, pasukan pertama tiba pada 9.16 malam sebelum operasi pemadaman dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu dengan bantuan BBP Kota Darulnaim, Tunjung serta Water Tanker BBP Pengkalan Chepa. “Lima jentera termasuk LFRT, FRT, ALP, Water Tanker dan EMRS digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 11 anggota,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Beliau berkata, dua lori dan dua motosikal turut hangus terbakar, manakala semua barangan dalam gudang itu musnah sepenuhnya.

Share this post: