Grab mohon maaf, siasat kes penumpang dakwa diganggu pemandu
2026-02-02 - 13:37
Grab Malaysia berkata, pihaknya sedang giat hubungi penumpang terkesan untuk siasat perkara itu serta beri sokongan sewajarnya. (Gambar Reuters) PETALING JAYA: Grab Malaysia memohon maaf atas insiden seorang wanita didakwa diganggu secara seksual oleh seorang pemandu e-panggilan di Johor. Menerusi hantaran di ruangan komen sebuah portal, syarikat itu berkata, pihaknya ‘amat kesal’ dengan kejadian tersebut. “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kami sedia maklum mengenai laporan itu dan sedang giat menghubungi penumpang yang terkesan bagi menyiasat perkara ini serta memberikan sokongan sewajarnya,” menurut komen itu. Grab Malaysia turut menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan. Awal hari ini, polis dilaporkan sedang mengenal pasti seorang pemandu e-panggilan yang dilihat dalam video tular didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita. Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat bagaimanapun berkata, tiada laporan rasmi dibuat setakat ini. Dalam video yang dilaporkan dirakam oleh penumpang tersebut, pemandu itu dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun ditepis. Dia juga didengar bertanya umur wanita itu dan berapa ‘harganya’, dalam bahasa Mandarin.