Gelombang haba di Padang Terap
2026-03-21 - 11:21
MetMalaysia umum gelombang haba melanda Padang Terap, Kedah. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Cuaca panas di daerah Padang Terap di Kedah kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) setakat 4 petang tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). MetMalaysia memaklumkan sebanyak 10 kawasan lain di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga), melibatkan seluruh Perlis; selain Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; serta daerah Timur Laut di Pulau Pinang. Tahap Berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Tahap Gelombang Haba melibatkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh yang sama. Orang ramai disaran merujuk laman rasmi MetMalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian.