TheMalaysiaTime

Gelombang haba berlarutan hingga Jun, kata MetMalaysia

2026-03-24 - 04:31

Suhu boleh cecah 37 hingga 38 darjah Celsius, khasnya di negeri utara Semenanjung. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Gelombang haba yang sedang melanda negara dijangka berlarutan hingga Jun ini, dengan suhu diramalkan mencapai kemuncaknya antara pertengahan Mac dan pertengahan April. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Hisham Anip, berkata suhu boleh mencecah 37 hingga 38 darjah Celsius, khasnya di negeri utara Semenanjung. Menurutnya, gelombang haba ialah fenomena lazim pada akhir monsun timur laut kerana litupan awan berkurangan dan kedudukan matahari berada tepat di atas rantau ini. “Tetapi, MetMalaysia menjangkakan jumlah hujan akan meningkat bermula hujung minggu ini susulan corak tiupan angin semakin lemah. “Ini menandakan permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula minggu depan, walaupun suhu kekal tinggi,” katanya menurut The New Straits Times. Beliau berkata, wilayah utara mengalami suhu lebih tinggi berbanding negeri lain disebabkan kedudukannya berhampiran rantau Indochina yang lebih panas. Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap satu (berjaga-jaga) untuk 17 kawasan di Semenanjung dan tahap dua (gelombang haba) bagi tiga kawasan. Amaran tahap satu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap dua antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Semalam, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Malaysia mencatatkan 15 kes berkaitan gelombang haba tahun ini, termasuk satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kenderaan. Beliau menasihatkan orang ramai banyakkan minum air kosong dan awasi tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga luar biasa dan suhu badan semakin meningkat.

Share this post: