Gantung Kiandee ‘amaran keras’ buat kem Hamzah, kata penganalisis
2026-03-12 - 02:14
Penganalisis Syaza Shukri berkata Ronald Kiandee tidak dipecat supaya Bersatu tidak hilang kerusi Parlimen di bawah undang-undang antilompat parti, manakala Mazlan Ali berpendapat tindakan itu hanya menonjolkan perpecahan dalaman semakin parah. PETALING JAYA: Penganalisis melihat tindakan Bersatu menggantung keahlian Naib Presidennya, Ronald Kiandee sebagai amaran keras kepada kumpulan pro-Hamzah Zainudin supaya tidak terus mencetuskan pergolakan dalam parti. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, ia strategi serampang dua mata bagi mengekalkan disiplin organisasi dan melumpuhkan pengaruh kem Hamzah secara sistematik. “Ia dilihat sebagai usaha ingin mengehadkan pengaruh kumpulan pro-Hamzah. Boleh dikatakan sebagai amaran,” katanya kepada FMT. Bersatu menggantung keahlian Kiandee dan Ketua Wanitanya, Mas Ermieyati Samsudin selama dua penggal pemilihan serta melucutkan semua jawatan dipegang mereka, berkuat kuasa kelmarin. Susulan itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Kiandee tidak dipecat kerana kesalahannya tidak setara kes Hamzah. Katanya, Kiandee turut menemui Presiden Umno, Zahid Hamidi di Bangkok, tetapi Hamzah didakwa mengetuai rundingan itu tanpa restu pucuk pimpinan parti. Muhyiddin sebelum ini menuduh Hamzah terbabit rundingan rahsia dengan Zahid untuk membentuk percaturan politik baharu yang membolehkan ketua pembangkang itu dilantik timbalan perdana menteri, sementara seorang lagi pemimpin memegang jawatan tertinggi. Syaza menyifatkan keputusan Bersatu tidak memecat Kiandee sebagai langkah taktikal bagi memastikan ia tidak kehilangan kerusi Parlimen di bawah undang-undang antilompat parti. “Jika dipecat, pemimpin terbabit bebas mengekalkan kerusi masing-masing dan ini akan merugikan Bersatu kerana ia memberi laluan mudah untuk mereka menyertai parti yang akan diketuai Hamzah. “Dengan cara ini, mereka dihukum tanpa memberi ruang kepada Hamzah untuk membentuk parti baharu, walaupun bagi saya, tindakan ini sebenarnya melemahkan Bersatu kerana melibatkan kepimpinan atasan.” Beliau turut mendakwa Muhyiddin seolah-olah sanggup ‘mengorbankan’ kekuatan parti demi memastikan kelangsungan kuasanya dengan hanya mengekalkan penyokong setia. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula menyifatkan penggantungan Kiandee mengejutkan dan merugikan Bersatu memandangkan beliau pemimpin moderat yang menjadi sumber kekuatan parti, khususnya di Borneo. “Umum akan melihat tindakan ini sebagai satu bentuk tekanan daripada Muhyiddin terhadap penentangnya dalam parti,” katanya sambil menambah tindakan itu mungkin memakan diri kerana Kiandee yang mempunyai ramai penyokong akan simpati terhadapnya dan akhirnya memberi kelebihan politik kepada Hamzah. Beliau berkata, tindakan penggantungan itu juga tidak menguntungkan Bersatu dalam jangka panjang kerana ia hanya menonjolkan keretakan dan perpecahan dalaman semakin parah.