Gaduh di Balai Polis Meru, 8 lelaki ditahan
2026-03-05 - 05:54
Tangkap layar video tular pergaduhan membabitkan lapan lelaki di Balai Polis Meru, 2 Mac lalu. SHAH ALAM: Polis menahan lapan lelaki tempatan berhubung insiden kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru, Klang pada 2 Mac lalu. Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata tangkapan dibuat dalam tiga siri berasingan melibatkan suspek berusia 28 hingga 44 tahun yang direman berasingan dari 3 hingga 7 Mac. Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kejadian dipercayai berpunca daripada pertelingkahan berkaitan perebutan kawasan keselamatan di sebuah tapak perumahan. “Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian,” katanya pada sidang media. Semakan polis mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, cubaan membunuh, samun berkumpulan dan pecah rumah. Siasatan di bawah Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Video kejadian itu turut tular di media sosial. Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata pihaknya turut menumpaskan aktiviti penyeludupan migran melalui dua siri tangkapan di Sabak Bernam dan Sekinchan. “Seramai 32 migran turut diberkas untuk siasatan lanjut,” katanya.