Fomca gesa penguatkuasaan tegas susulan kenaikan harga minyak
2026-03-20 - 06:40
Fomca gesa pihak berkuasa lakukan pemeriksaan menyeluruh elak peniaga ambil kesempatan naik harga barang. PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa memantau dengan lebih ketat peniaga yang menaikkan harga barangan atas alasan kos pengangkutan meningkat susulan kenaikan harga bahan bakar, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca). Ketua Pegawai Eksekutifnya T Saravanan berkata setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, ada risiko segelintir pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah. Bagaimanapun, beliau mengakui dalam realiti pasaran, kos input seperti bahan api dan logistik sememangnya memberi kesan kepada operasi perniagaan, dan sebahagian kenaikan kos itu mungkin dipindahkan kepada pengguna. “Justeru, kenaikan harga barangan pada tahap tertentu adalah dijangka, tetapi ia mesti berasaskan kos sebenar dan bukan sekadar alasan pengangkutan semata-mata. “Kerajaan perlu buat pemeriksaan menyeluruh ke atas rantaian bekalan dan struktur kos bagi memastikan perubahan harga dibuat munasabah,” katanya kepada FMT. “Ketelusan dalam penentuan harga juga penting supaya pengguna memahami justifikasi di sebalik sebarang kenaikan.” Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga RON97 ditetapkan pada RM4.55 seliter berbanding RM3.85 sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung meningkat kepada RM4.72 seliter daripada RM3.92. Harga berkuat kuasa semalam hingga 25 Mac ini ditetapkan susulan peningkatan harga minyak global yang dipengaruhi konflik di Timur Tengah. Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Jacob George pula berkata tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara seimbang supaya tidak membebankan peniaga yang turut terkesan. “Kalau kenaikan terlalu tinggi, memang ada justifikasi kos, tetapi kerajaan perlu cari jalan tengah. “Jangan hanya fokus kepada tindakan seperti saman atau tarik lesen, sebaliknya cari penyelesaian munasabah supaya pengguna dilindungi dan peniaga tidak menanggung kerugian besar,” katanya.