TheMalaysiaTime

Fi lesen gimnasium di KL dikurangkan 80%

2026-03-03 - 08:24

Sebelum ini, pengusaha gimnasium bayar kira-kira RM5,000 setahun untuk fi lesen, namun kini hanya perlu bayar RM1,000. (Gambar Envato Elements) KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengumumkan pengurangan 80% bagi fi lesen gimnasium di Kuala Lumpur, menurunkan kadar daripada RM50 kepada RM10 bagi setiap meter persegi, berkuat kuasa serta-merta. Yeoh berkata, langkah tersebut diambil selepas tiga tahun sesi libat urus diadakan bersama pemain industri, termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia. “Sebelum ini, pengusaha gimnasium membayar kira-kira RM5,000 setahun untuk fi lesen. Kini, mereka hanya perlu bayar RM1,000. Ini merupakan pengurangan sebanyak 80%,” katanya pada sidang media di Menara DBKL hari ini. Bagaimanapun, katanya, premis yang menyediakan perkhidmatan spa, urutan, atau elemen komersial lain akan tertakluk kepada lesen berasingan. “Untuk gimnasium ‘tulen’, (pengusaha) nikmati kadar RM10 per meter persegi. Sekiranya ditambah elemen seperti spa, kafe atau komponen komersial, perlu bayar (fi) lesen yang berbeza,” katanya. Yeoh merujuk data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi 2023 yang menyatakan sekitar 32.6% daripada populasi, atau kira-kira 6.86 juta orang, merupakan orang dewasa yang berlebihan berat badan, manakala 21.8% obes. Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan kadar obesiti tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 40.6%, sementara di Putrajaya 35.5% dan Labuan 34.8%. “Berdasarkan statistik yang membimbangkan ini, kita perlu ambil tindakan drastik,” katanya. Bagaimanapun, menteri itu berkata, kerajaan tidak akan memaksa pengusaha untuk menurunkan harga. “Kita tidak boleh beritahu mereka, mesti beri diskaun, tetapi kita galakkan. Tak boleh paksa pengusaha gimnasium turunkan harga,” katanya. Yeoh menggalakkan pihak gimnasium menawarkan diskaun keahlian pada waktu luar puncak dan pakej istimewa untuk warga emas bagi menggalakkan lebih ramai orang bersenam.

Share this post: