TheMalaysiaTime

Felda-Terengganu capai kata sepakat status milikan ladang 6 daerah

2026-03-18 - 11:42

Sebelum ini Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar. PETALING JAYA: Felda dan kerajaan Terengganu hari ini menandatangani perjanjian penyelesaian bagi memperkemas status tanah ladang komersial di negeri itu. Menerusi kenyataan, Felda memaklumkan langkah itu melibatkan kawasan ladang di enam daerah utama iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman. Katanya, perjanjian itu adalah kesinambungan kepada sejarah kerjasama panjang antara kedua-dua pihak yang bermula sejak 1969 bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. “Penyelesaian ini akan memberi hasil dan manfaat ekonomi kepada warga komuniti Felda secara keseluruhannya bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan mereka. “Kerjasama erat antara peringkat persekutuan, negeri, dan Felda telah menjadi pemacu utama kepada penyelesaian ini sekali gus mencerminkan keberkesanan tadbir urus demi kepentingan rakyat,” katanya. Pada 8 Feb lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata isu tanah ladang komersial antara kedua-dua pihak hampir selesai. Sebelum ini, Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa ia diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun. Penyerahan notis itu dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu. Bagaimanapun, kerajaan Terengganu melanjutkan tempoh remedi kepada Felda susulan perkembangan positif hasil rundingan.

Share this post: