FBI ekstradisi warga Bangladesh dikehendaki dari Malaysia
2026-03-06 - 01:23
Beberapa individu dipercayai pegawai FBI membawa suspek memasuki sebuah pesawat peribadi yang mendarat di Malaysia. (Gambar X) PETALING JAYA: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah mengekstradisi seorang wargan Bangladesh dari Malaysia selepas menahan suspek dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia. Pengarah FBI, Kash Patel, berkata Zobaidul Amin, 28, didakwa mengendalikan sebuah rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa dan dikehendaki sejak 2022. Beliau menambah bahawa Zobaidul tiba di Alaska, Amerika Syarikat (AS) semalam dan akan didakwa kemudian hari ini. Patel mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia atas bantuan mereka dalam penahanan suspek tersebut. “Terima kasih kepada pejabat kami di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia, dan rakan-rakan tempatan kami yang hebat di seluruh negara yang membantu dalam siasatan dan penahanan,” katanya dalam satu hantaran di X. Dalam hantaran tersebut, Patel menyertakan gambar menunjukkan tiga individu dipercayai pegawai FBI mengiringi suspek ke pesawat peribadi yang mendarat di Malaysia.