TheMalaysiaTime

Fahmi Zainol digantung semua jawatan PKR hingga kes mahkamah selesai

2026-03-01 - 12:23

Semalam, Fahmi Zainol mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan sengaja mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar di rumah mereka di Bayan Lepas pada 22 Feb lalu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: PKR menggantung Fahmi Zainol daripada semua jawatan parti serta-merta sehingga kes exco Pulau Pinang itu di mahkamah diputuskan. Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh, berkata langkah itu menyusul mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini, yang turut mengarahkan beliau menghantar surat kepada ketua menteri Pulau Pinang berhubung jawatan exco Fahmi. Semalam, Fahmi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan sengaja mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar di rumah mereka di Bayan Lepas pada 22 Feb lalu. Adun Pantai Jerejak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, MPP turut membincangkan isu surat tunjuk kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan jawapan diberikannya. “Parti mengambil maklum beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tataetika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” katanya dalam kenyataan. Semalam, bekas menteri ekonomi itu memaklumkan beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab, yang mendakwanya menyatakan hasrat keluar parti. Jelasnya, kenyataannya dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, seperti dirujuk surat tunjuk sebab itu “mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik”. Katanya, ia membawa maksud beliau akan kekal sebagai ahli PKR dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan hingga Parlimen dibubarkan, selain berhak mempunyai perancangan sendiri selepas Parlimen dibubarkan.

Share this post: